Seminggu bebas penjara, lelaki kembali lakukan jenayah ditahan

Foto hiasan

SUNGAI PETANI, 18 November – Baharu seminggu dibebaskan dari penjara, seorang lelaki berusia 31 tahun kembali melakukan jenayah apabila disyaki memecah masuk sebuah kilang sebelum melarikan sebuah kenderaan pacuan empat roda bernilai RM80,000 di Taman Perindustrian Ringan, Taman Kempas, di sini, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenderaan curi dikesan polis kira-kira 10 jam kemudian semasa rondaan di sekitar Sungai Lalang.
  • Laporan diterima pukul 10.20 pagi, pemeriksaan mendapati kilang berselerak dan sebuah pacuan empat roda putih hilang.
  • Suspek enggan berhenti, bertindak agresif, melanggar kenderaan awam dan merempuh kenderaan JSJ sebelum sampai ke jalan mati.
  • Polis melepaskan tiga das tembakan untuk menghentikan suspek tanpa kecederaan, suspek ditahan; ujian air kencing positif dadah, ada lapan rekod lampau.

Bagaimanapun, kegiatan suspek terbongkar selepas kenderaan curi itu dikesan polis kira-kira 10 jam kemudian ketika rondaan di sekitar Sungai Lalang.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pihaknya menerima laporan daripada pekerja kilang berkenaan pada pukul 10.20 pagi selepas mereka menyedari premis itu dipecah masuk kira-kira pukul 7.50 pagi.

“Pemeriksaan mendapati keadaan dalam kilang berselerak, manakala sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna putih didapati hilang,” katanya kepada pemberita.

Susulan laporan itu, polis menjalankan siasatan dan rondaan sebelum menemui suspek yang sedang memandu kenderaan berkenaan kira-kira pukul 5.30 petang.

Suspek kemudian bertindak agresif dan enggan berhenti, sekali gus mencetuskan aksi kejar-mengejar sehingga ke kawasan ladang kelapa sawit di Bukit Selambau.

Menurut Datuk Adzli, suspek turut melanggar sebuah kenderaan awam sebelum merempuh kenderaan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) ketika cuba meloloskan diri di jalan mati.

“Apabila diarah berhenti, suspek telah melarikan diri dan bertindak agresif dengan melanggar sebuah kenderaan awam. Berlaku kejar-mengejar sehingga suspek tiba di jalan mati, namun dia masih cuba melarikan diri dan turut melanggar kenderaan pasukan JSJ.

“Bagaimanapun, kita telah melepaskan tiga das tembakan bagi menghentikan tindakan agresif tersebut tanpa menyebabkan sebarang kecederaan dan berjaya menahan seorang suspek,” katanya.

Suspek turut mengaku mempunyai seorang lagi rakan sejenayah, namun polis masih berusaha mengenal pasti identiti individu terbabit.

Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah, manakala semakan rekod mendapati dia mempunyai lapan rekod lampau membabitkan empat kes jenayah dan empat kes dadah.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Menembak anjuran Polis Kontinjen Kedah dengan kerjasama Kelab Media Elit Kedah (KMEK) di Lapang Sasar Polis Kubang Pasu, Jitra.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.