
KUALA LUMPUR, 18 November – Kerajaan melalui Majlis Sukan Negara (MSN) akan menanggung sepenuhnya kos rawatan dan perubatan atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin yang kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) susulan kemalangan jalan raya baru-baru ini.
- Rawatan susulan, penginapan wad dan elaun latihan diteruskan mengikut kadar kelayakan semasa.
- Menteri menziarahi Hafizuddin di HKL; mendapati beliau sihat, bersemangat dan menyerahkan sumbangan peribadi kepada keluarga.
- Layak menerima polisi insurans dianggarkan RM120,000; faedah PERKESO termasuk FHUS RM50.40/hari, FHUK RM915.84/sebulan, bayaran pukal RM39,060.58.
- MSN menyediakan penginapan dan makan di Casa MSN serta meneliti bantuan jangka panjang: pemulihan, kaunseling dan peluang masa depan.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, tanggungan tersebut merangkumi rawatan susulan serta penginapan di wad sehingga atlet berkenaan dibenarkan keluar hospital, selain elaun latihannya yang akan diteruskan seperti biasa mengikut kadar kelayakan semasa.
Menurutnya, beliau berkesempatan menziarahi Hafizuddin di HKL hari ini dan mendapati atlet berkenaan berada dalam keadaan baik serta bersemangat tinggi, di samping turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada ibu bapa dan ahli keluarganya.
“Semakan MSN menerusi Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) mendapati Hafizuddin layak menerima manfaat polisi insurans yang dianggarkan berjumlah RM120,000.
“Beliau juga layak menerima faedah di bawah Skim Lindung 24 Jam Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melibatkan Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sebanyak RM50.40 sehari sepanjang cuti sakit, diikuti Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK) berjumlah RM915.84 sebulan seumur hidup serta bayaran pukal sekali gus sebanyak RM39,060.58,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Hafizuddin turut layak menerima Faedah Perubatan serta kemudahan Pemulihan Jasmani dan Vokasional daripada PERKESO.
Bagi memudahkan urusan keluarga sepanjang tempoh rawatan di ibu negara, Dr. Mohammed Taufiq memaklumkan MSN turut menyediakan kemudahan penginapan dan makan di Casa MSN atau di lokasi lain yang bersesuaian.
“MSN juga akan meneliti bentuk bantuan dan sokongan jangka panjang merangkumi aspek pemulihan, kaunseling dan peluang masa depan bagi memastikan kebajikan beliau terus terpelihara,” ujarnya sambil memohon orang ramai menghormati privasi atlet tersebut dan keluarganya.
Hafizuddin yang mesra disapa Udin sebelum ini dilaporkan terbabit dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), ketika dalam perjalanan dari Ampang menuju ke Bukit Jalil kira-kira pukul 11 malam pada Isnin.
Menurut Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, tindakan memotong tangan atlet berusia 22 tahun itu dibuat atas saranan doktor bagi menyelamatkan nyawanya.
Pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, Hafizuddin memenangi pingat emas kategori 88kg dengan jumlah angkatan 345kg, termasuk rekod kebangsaan snatch 162kg.