Perlindungan pekerja perlu diperkukuh hadapi perkembangan AI

Datuk Seri Fahmi Fadzil / Foto RTM

PUTRAJAYA, 18 November – Dasar dan mekanisme perlindungan pekerja perlu diperkukuh bagi menghadapi perubahan struktur pekerjaan susulan perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam tempoh lima tahun akan datang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlu memperkukuh dasar, peraturan dan struktur keselamatan sosial untuk melindungi pekerja menghadapi perubahan pekerjaan disebabkan perkembangan AI.
  • Jurang kepantasan penggubalan undang-undang berbanding perubahan AI menimbulkan cabaran memastikan peraturan tetap relevan.
  • Tingkatkan pembelajaran sepanjang hayat dan sokongan kerajaan supaya individu dapat menambah kemahiran serta menyesuaikan kerjaya terkesan AI.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, penggunaan AI dijangka mengubah cara perniagaan dan industri beroperasi, termasuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu yang memerlukan penyesuaian dalam pasaran kerja.

“Bagi kerajaan, kita perlu memastikan dasar, peraturan serta struktur keselamatan dan sokongan yang disediakan mampu menghadapi perubahan besar.

” Ini termasuk kemusnahan kreatif atau pewujudan pekerjaan baharu yang akan kita lihat dalam tempoh lima tahun akan datang susulan penggunaan AI dan perubahan cara perniagaan, industri serta sektor beroperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai forum Sidang Idea Malaysia (SIM) mengenai kesan perkembangan AI terhadap masyarakat dan masa depan pekerjaan yang diadakan bersempena
Festival Idea Putrajaya, di sini.

Mengulas cabaran pengawalseliaan, Datuk Seri Fahmi berkata, proses meluluskan undang-undang di Parlimen boleh mengambil masa sehingga dua tahun, berbanding teknologi AI yang mampu mengalami perubahan ketara dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

Jurang kepantasan itu menjadi antara cabaran kerajaan dalam memastikan peraturan berkaitan kekal relevan seiring perkembangan teknologi.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan pembelajaran sepanjang hayat sebagai persediaan menghadapi perubahan keperluan kemahiran dan peralihan kerjaya.

“Jika ada satu perkara yang saya harap anda ingat daripada forum ini, anda tidak ke universiti semata-mata untuk mendapatkan pekerjaan. Anda ke universiti untuk menghargai ilmu pengetahuan serta peranan minda manusia dalam mencipta, memelihara dan mengembangkan ilmu.

“Saya berharap anda mempunyai minat terhadap pembelajaran sepanjang hayat kerana segala yang dipelajari hari ini mungkin akan menjadi lapuk suatu hari nanti,” katanya.

Datuk Seri Fahmi berkata, kesediaan individu untuk terus meningkatkan kemahiran perlu bergerak seiring usaha kerajaan menyediakan sokongan kepada pekerja yang terkesan akibat perkembangan AI.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.