Projek 25:23 FELDA pacu produktiviti sawit

Menurut Pengerusi FELDA, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir

KUANTAN, 18 November – Projek 25:23 yang dilaksanakan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) sejak 2022 mula menampakkan impak positif dalam meningkatkan produktiviti ladang dan kecekapan pengeluaran minyak sawit.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peluasan Projek 25:23 dari 25 kepada 40 kompleks kilang, melibatkan kira-kira 232,000 hektar perladangan.
  • Hasil FFB meningkat daripada 16.83 t/ha (2023) kepada 20.26 t/ha (2025); sasaran 25 t/ha menjelang 2030.
  • Sasaran kadar perahan minyak 23%; purata 2023-2025 sekitar 21%, unjuran 2026 21.75%, pengeluaran minyak/ha meningkat kira-kira 18%.

Pelaksanaannya telah diperluaskan daripada 25 kompleks kilang pada Fasa 1 kepada 40 kompleks pada Fasa 2, melibatkan kira-kira 232 ribu hektar kawasan perladangan.

Menurut Pengerusi FELDA, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, purata hasil Buah Tandan Segar meningkat daripada 16.83 tan sehektar pada tahun 2023; kepada 20.26 tan sehektar pada 2025, dan jumlah itu seiring dengan sasaran 25 tan sehektar pada 2030.

“Angka 23 merujuk kepada sasaran kadar perahan minyak sebanyak 23 peratus. Pada masa ini, kita hanya memperoleh sekitar 5.75 tan minyak daripada tandan buah kelapa sawit.

“Insya-Allah, menjelang tahun 2030, semua ladang FELDA disasarkan mencapai sebanyak 25 peratus dan 23 peratus, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Sambutan 70 Tahun FELDA Wilayah Kuantan dan Anugerah Projek 25:23 di FELDA Lepar Hilir 3, di sini.

Menurutnya, purata kadar perahan minyak bagi tempoh 2023 hingga 2025 kekal sekitar 21 peratus, manakala prestasi bagi 2026 diunjurkan meningkat kepada 21.75 peratus.

Selain itu, pengeluaran minyak sawit bagi setiap hektar kawasan tanaman turut meningkat kira-kira 18 peratus, daripada 3.61 tan sehektar pada 2023 kepada 4.26 tan sehektar pada 2025.

Beliau berkata, meskipun sasaran Projek 25:23 belum dicapai sepenuhnya, perkembangan yang direkodkan menunjukkan potensi untuk terus meningkatkan produktiviti, kecekapan dan daya saing sektor perladangan Kumpulan FELDA.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.