Peruntukan RM90 juta buka banyak peluang PMKS


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim

KUALA LUMPUR, 18 November – Sekurang-kurangnya RM90 juta diperuntukkan menerusi Program Pelaburan PKS bagi membuka lebih banyak peluang pelaburan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang berpotensi tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama SME Corp. dengan Pernas, OSK Ventures dan Hartamodal sebagai rakan strategik melaksanakan Program Pelaburan PKS.
  • SME Corp. menyediakan peruntukan RM45 juta manakala baki dana dipadankan oleh rakan strategik, menawarkan alternatif pembiayaan selain pinjaman bank.
  • Program bertujuan membantu PMKS berimpak tinggi mendapatkan pembiayaan melalui instrumen pembiayaan atau ekuiti untuk memperkukuh dan mengembangkan perniagaan.
  • Perasmian ibu pejabat baharu SME Corp. di Menara AIA Cap Square jimat kos sewaan RM17 juta setahun dan himpunkan kira-kira 260 kakitangan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata, inisiatif yang dilaksanakan oleh SME Corp. Malaysia itu mendapat kerjasama tiga rakan strategik, iaitu Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), OSK Ventures International Berhad dan Hartamodal Sdn. Bhd.

Menerusi program berkenaan, SME Corp. Malaysia menyediakan peruntukan sebanyak RM45 juta, manakala baki dana akan dipadankan oleh rakan strategik terbabit. Inisiatif itu turut menyediakan alternatif pembiayaan kepada PMKS selain pinjaman bank.

“Program ini bertujuan membantu PMKS dalam sektor berimpak tinggi mendapatkan pembiayaan, sama ada melalui instrumen pembiayaan atau ekuiti. Saya berharap PMKS dapat memanfaatkan dana berjumlah RM90 juta ini untuk memperkukuh dan mengembangkan perniagaan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-30 SME Corp. Malaysia dan pelancaran Program Pelaburan PKS, di sini, pada Rabu.

Pada majlis sama, beliau turut merasmikan ibu pejabat baharu SME Corp. Malaysia di Menara AIA Cap Square, bersempena ulang tahun ke-30 penubuhan agensi itu pada 2 Mei 1996.

Perpindahan ke ibu pejabat baharu itu dijangka membolehkan SME Corp. Malaysia menjimatkan kos sewaan sebanyak RM17 juta setahun, dengan potensi penjimatan melebihi RM500 juta dalam tempoh 30 tahun.

Ibu pejabat baharu itu turut menghimpunkan kira-kira 260 kakitangan daripada 12 bahagian dan tiga unit di bawah satu bumbung.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.