PGA rampas 19,520 batang rokok seludup di Ketereh

Sebahagian daripada 19,520 batang rokok seludup yang dirampas PGA di sebuah rumah di Taman Darul Salam/Foto PGA Briged Tenggara

KETEREH, 14 Jun – Kira-kira 19,500 batang rokok seludup bernilai hampir RM37,000 dirampas dalam serbuan Pasukan Gerakan Am (PGA) di sebuah rumah di Taman Darul Salam di sini, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang lelaki 31 tahun ditahan untuk membantu siasatan selepas dilihat membawa dua bungkusan plastik keluar rumah.
  • Pemeriksaan bilik menemui 15,800 batang rokok putih dan 3,720 batang rokok kretek disyaki tidak berkastam.
  • Rumah disewa dijadikan stor bekalan rokok untuk dijual secara runcit dan dibekalkan kepada beberapa peniaga kedai runcit setempat.
  • Bekalan dipercayai diperoleh daripada lelaki dikenal sebagai 'Wan' yang menghantar sekitar Politeknik Kok Lanas; kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam.

Komander Briged Tenggara PGA Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata dalam serbuan kira-kira 9.30 malam itu, seorang lelaki berusia 31 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Hasil pemerhatian mendapati seorang lelaki memasuki rumah tersebut sebelum keluar kira-kira lima minit kemudian dengan membawa dua bungkusan plastik.

“Pasukan serbuan kemudian menahan lelaki berkenaan dan pemeriksaan lanjut menemui sejumlah rokok yang disyaki tidak berkastam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan seterusnya di dalam sebuah bilik di rumah itu menemukan 15,800 batang rokok putih dan 3,720 batang rokok kretek.

“Suspek menyewa rumah tersebut khusus untuk dijadikan stor penyimpanan bekalan rokok yang dijual secara runcit kepada penduduk setempat serta dibekalkan kepada beberapa peniaga kedai runcit di sekitar kawasan berkenaan.

“Bekalan rokok dipercayai diperoleh daripada seorang lelaki dikenali sebagai ‘Wan’ yang kebiasaannya menghantar bekalan di sekitar kawasan Politeknik Kok Lanas,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Semua barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tindakan lanjut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.