Lebih 26 tan ayam sejuk beku guna sijil halal palsu dirampas

Foto AKPS Bukit Kayu Hitam

BUKIT KAYU HITAM, 14 Jun – Lebih 26 tan metrik ayam sejuk beku yang cuba diseludup masuk ke Malaysia menggunakan sijil halal palsu berjaya dirampas Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

RINGKASAN BERITA AI
  • MAQIS AKPS merampas penghantaran ayam sejuk beku selepas sijil halal disyaki palsu.
  • Semakan dalam talian menunjukkan maklumat sijil berbeza; JAKIM mengesahkan sijil itu palsu.
  • Lori dan treler yang membawa muatan ditahan untuk siasatan serta tindakan lanjut.
  • AKPS pertingkat kawalan sempadan, kerjasama agensi dan ambil tindakan tegas terhadap pemalsuan sijil halal.

Ia hasil penahanan sebuah lori di Bay Pemeriksaan E3, Kompleks Imigresen Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Fauzi Mohd Yusof berkata, pada 8 Jun lalu, pegawai MAQIS AKPS telah menerima dokumen pengisytiharan import ayam sejuk beku yang dikemukakan oleh ejen pengimport bagi tujuan pemeriksaan dan pengesahan.

Beliau berkata semakan awal mendapati terdapat keraguan terhadap sijil halal yang dikemukakan selepas pemeriksaan dibuat melalui sistem semakan sijil halal secara dalam talian.

“Semakan lanjut mendapati maklumat yang direkodkan dalam sistem berbeza dengan maklumat yang terkandung dalam sijil halal yang dikemukakan oleh pihak ejen atau wakil pengimport.

“Susulan itu, pihak MAQIS AKPS telah mengemukakan perkara tersebut kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk pengesahan. Pada 12 Jun lalu, JAKIM telah mengesahkan bahawa sijil halal yang dikemukakan adalah palsu.

Sehubungan itu, tindakan penahanan dan penyitaan telah dilaksanakan bagi membolehkan siasatan serta tindakan lanjut diambil oleh pihak MAQIS Negeri Kedah.

Siasatan awal mendapati pihak ejen atau wakil pengimport menggunakan dokumen palsu untuk melepasi pemeriksaan Agensi Penguatkuasaan.

“Pihak AKPS tidak menolak kemungkinan kewujudan sindiket yang terlibat dalam pengeluaran dan penggunaan sijil halal palsu bagi tujuan pengimportan produk makanan ke negara ini.

Konsainan yang ditahan melibatkan 26,040 kilogram ayam sejuk beku dengan nilai anggaran sebanyak RM208,320.00 berdasarkan harga dan berat yang diisytiharkan dalam permit import.

Sebuah treler yang digunakan untuk membawa muatan tersebut turut ditahan dengan nilai anggaran RM25,000.00. Jumlah keseluruhan nilai sitaan dianggarkan sebanyak RM233,320.00

AKPS akan terus memperkukuh kawalan sempadan serta bekerjasama rapat dengan agensi-agensi penguat kuasa berkaitan bagi memastikan keselamatan makanan negara, integriti pensijilan halal dan pematuhan terhadap peraturan import sentiasa terpelihara.

“AKPS memandang serius sebarang cubaan untuk mengemukakan dokumen palsu, khususnya yang melibatkan pensijilan halal. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam aktiviti ini.

“Pada masa sama, AKPS akan terus memperkukuh pemeriksaan dan kerjasama strategik dengan agensi berkaitan bagi memastikan hanya produk yang mematuhi syarat dan peraturan dibenarkan memasuki negara”, katanya menerusi satu kenyataan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.