Banjir : 17 penduduk terjejas dipindahkan ke PPS SK Batu Hampar

Foto APM Negeri Perak

BUKIT GANTANG, 14 Jun – Seramai 17 penduduk daripada lapan keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Batu Hampar, Trong, susulan kejadian banjir yang melanda Kampung Batu 25, petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pusat pemindahan sementara dibuka pada pukul 8.00 malam untuk menempatkan penduduk terjejas akibat hujan berterusan.
  • Penghuni PPS termasuk dewasa, kanak-kanak, empat warga emas dan dua orang kurang upaya.
  • Pelbagai agensi menjalankan operasi bantuan; cuaca masih hujan dan pihak berkuasa terus memantau perkembangan.

PPS berkenaan dibuka pada pukul 8.00 malam tadi bagi menempatkan penduduk yang terjejas akibat hujan berterusan di kawasan tersebut.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Larut, Matang dan Selama, kesemua penduduk yang di tempatkan di PPS terdiri daripada tujuh lelaki dewasa, enam perempuan dewasa, tiga kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

Turut direkodkan dalam kalangan penduduk ialah empat warga emas serta dua orang kurang upaya.

Sehingga pukul 8.00 malam, hanya sebuah PPS dibuka melibatkan kawasan Kampung Batu 25 di Mukim Trong, dalam Parlimen Bukit Gantang.

Bagaimanapun, tiada jalan dilaporkan terputus atau dinaiki air setakat ini.

Operasi pemantauan dan bantuan di lokasi melibatkan pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta Pejabat Penghulu.

Keadaan cuaca di kawasan terjejas ketika laporan ini dikeluarkan dilaporkan masih hujan dan pihak berkuasa terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.