
KUALA LUMPUR, 14 Jun – Prinsip keadilan dan ehsan perlu menjadi asas kepada setiap keputusan serta dasar kerajaan tanpa mengira kaum, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Pertumbuhan ekonomi semata tidak memadai jika hasilnya tidak diagihkan secara adil kepada mereka yang memerlukan.
- Bantuan dan peruntukan kerajaan mesti disalurkan berdasarkan keperluan sebenar untuk merapatkan jurang pembangunan, khususnya golongan miskin dan kawasan ketinggalan.
- Keadilan harus ditafsirkan mengikut keperluan, bukan mengikut negeri atau kaum; fokus kepada kumpulan berisiko tinggi kemiskinan.
Langkah itu bagi memastikan manfaat pembangunan dan pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara saksama oleh seluruh rakyat.
Menurut beliau, pertumbuhan ekonomi semata-mata tidak memadai sekiranya hasilnya tidak diagihkan secara adil kepada rakyat yang memerlukan.
Katanya, setiap langkah dan keputusan kerajaan perlu mengambil kira kepentingan rakyat selaras dengan matlamat keadilan sosial yang menjadi tunjang pembangunan negara.
“Ini isu keadilan sosial, kesamarataan dan kesaksamaan. Itu tujuan dan matlamat kita. Setiap langkah, setiap keputusan mesti memikirkan rakyat terbanyak. Kita perlu memikirkan bagaimana menjana pertumbuhan, itu satu kewajaran.
“Tetapi bagaimana hasil pertumbuhan itu diagihkan, itu satu kemestian. Kalau tidak, ia tidak memaknai kemerdekaan, demokrasi mahupun pertumbuhan itu sendiri. Semua itu mesti menjurus kepada keadilan sosial,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (KOPROJAYA) kali ke-10 hari ini di Putrajaya.
Datuk Seri Anwar menjelaskan, konsep keadilan tidak boleh ditafsirkan sebagai layanan sama rata kepada semua pihak tanpa mengambil kira perbezaan keperluan dan kedudukan.
Katanya, pendekatan itu sejajar dengan gagasan justice as fairness yang diketengahkan oleh ahli falsafah politik, John Rawls, iaitu keadilan yang memberi peluang saksama kepada semua berdasarkan keperluan dan keadaan masing-masing.
Oleh itu, katanya, bantuan dan peruntukan kerajaan perlu disalurkan berdasarkan keperluan sebenar agar jurang pembangunan dapat dirapatkan, khususnya melibatkan golongan miskin dan kawasan yang masih ketinggalan.
“Kadang-kadang dalam wacana dan naratif politik negara, keadilan ditafsirkan mengikut negeri atau kaum. Padahal, ia mesti berdasarkan keperluan. Jika sesuatu kelompok itu ramai yang miskin, maka mereka perlu diberikan perhatian.
“Sebab itu kalau tengok majoriti kemiskinan negara kita majoriti masih Melayu. Daripada kelompok Inda ataupun Orang Ulu y ang miskin itu mesti (kita) tangani. Sebab itu saya ingatkan tentang apa makana keadilan dan ehsan itu sangat penting” katanya.