
KOTA KINABALU, 14 Jun – Kes denggi di seluruh negara meningkat 20.7 peratus kepada 33,367 kes setakat semalam atau Minggu Epidemiologi 23, berbanding 27,640 kes bagi tempoh sama tahun lepas.
- KKM memperkukuh program Komuniti Bebas Denggi (KomBeD) untuk bentuk persekitaran sihat dan pemerkasaan komuniti.
- Penglibatan masyarakat amat penting dalam pencegahan dan kawalan denggi.
- Pendekatan Behavioural Insights digunakan untuk jadikan amalan kebersihan dan hapus lokasi pembiakan nyamuk sebagai budaya harian.
- Kerjasama semua pihak diperlukan bagi mewujudkan komuniti lebih sihat dan bebas denggi, termasuk usaha menentang penyakit berjangkit lain.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, peningkatan itu menuntut pendekatan lebih menyeluruh dalam usaha membendung penularan penyakit berkenaan, khususnya melalui perubahan tingkah laku masyarakat.
Oleh itu katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) memperkukuh pelaksanaan program Komuniti Bebas Denggi (KomBeD) yang memberi tumpuan kepada pembentukan persekitaran sihat, pemerkasaan komuniti serta penglibatan seluruh lapisan masyarakat.
“Menerusi pendekatan KomBeD, penglibatan masyarakat amat penting dalam usaha pencegahan dan kawalan denggi.
“Saya telah menegaskan betapa mustahaknya peranan komuniti dalam menangani penyakit berjangkit seperti denggi dan malaria.
“Hari ini, kita juga berdepan dengan penyakit lain seperti tuberkulosis (tibi) dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Denggi ASEAN, Hari Malaria Sedunia dan Gotong-Royong Mega Peringkat Kebangsaan bersempena Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) 2026, di Dewan Masyarakat Manggatal, di sini.
Jelas beliau, pendekatan ‘Behavioural Insights’ (BI) digunakan bagi menggalakkan perubahan tingkah laku rakyat supaya amalan menjaga kebersihan persekitaran dan menghapuskan lokasi pembiakan nyamuk menjadi budaya harian, bukan sekadar dilaksanakan ketika kempen atau gotong-royong berkala.
Tambahnya, kejayaan usaha membanteras denggi memerlukan kerjasama semua pihak bagi mewujudkan komuniti yang lebih sihat dan bebas denggi.