
KOTA KINABALU, 14 Jun – Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
- Akta 852 meliputi rokok elektronik dan vape; pelanggaran akan dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang.
- Penguatkuasaan diambil segera oleh agensi bertanggungjawab apabila terdapat penjualan, promosi atau penggunaan produk merokok tidak mematuhi akta.
- KDN, PDRM dan agensi berkaitan akan turut serta dalam tindakan penguatkuasaan apabila perlu.
- Pendekatan "whole of government" digerakkan untuk memastikan pematuhan undang-undang dan melindungi kesihatan awam.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menegaskan, tindakan penguatkuasaan akan diambil segera sekiranya terdapat pelanggaran membabitkan penjualan, promosi atau penggunaan produk merokok yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang.
“Akta Kawalan Produk Merokok turut merangkumi rokok elektronik atau vape. Daripada sudut peruntukan di bawah Akta 852, sekiranya berlaku sebarang pelanggaran terhadap peruntukan akta tersebut, tindakan akan diambil.
“Jika agensi kami yang bertanggungjawab, pihak penguat kuasa akan mengambil tindakan segera. Sekiranya terdapat perkara yang melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan lain, mereka juga akan turut serta dalam penguatkuasaan.
“Pendekatan yang diambil adalah pendekatan menyeluruh melibatkan seluruh jentera kerajaan (‘whole of government approach’),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Denggi ASEAN, Hari Malaria Sedunia dan Gotong-Royong Mega Peringkat Kebangsaan bersempena Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) 2026, di Dewan Masyarakat Manggatal, di sini.
Menurutnya, pendekatan ‘whole of government approach’ terus digerakkan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta melindungi kesihatan awam daripada risiko produk merokok.
Tambahnya lagi, pasukan penguat kuasa KKM sentiasa bersiap siaga memantau dan mengambil tindakan terhadap sebarang kesalahan yang dikesan di seluruh negara.