
KUALA LUMPUR, 22 Mei – Isu tular membabitkan jurulatih tinju skuad kebangsaan dari Thailand, Keattisak Teankam serta dakwaan terhadap Presiden Persekutuan Tinju Malaysia (PTM), Datuk Mohamad Iruan Zulkefli tidak melibatkan Majlis Sukan Negara (MSN).
- Penamatan kontrak dan penyelarasan gaji dijalankan mengikut prosedur serta tatakelola; kos tiket pulang ke Thailand ditanggung.
- Keattisak dilantik Program Pelapis Kebangsaan dari 31 Julai 2025 hingga 31 Dis 2026, gaji RM8,800; kontrak dipendekkan ke Julai 2026.
- MSN berharap isu tular tidak menjejaskan fokus atlet Sukan SEA Kuala Lumpur 2027 dan menegaskan komitmen profesional, telus dan berintegriti.
MSN dalam satu kenyataan memaklumkan proses penamatan kontrak serta penyelarasan pembayaran gaji melibatkan jurulatih berkenaan dilaksanakan mengikut prosedur dan tatakelola ditetapkan, termasuk menanggung kos tiket penerbangan pulang ke Thailand.
Menurut MSN, Keattisak dilantik sebagai jurulatih Program Pelapis Kebangsaan bermula 31 Julai 2025 hingga 31 Disember 2026 dengan gaji bulanan RM8,800.
Namun, kontraknya dipendekkan sehingga Julai 2026 susulan penstrukturan semula program latihan tinju daripada Program Podium Sepenuh Masa kepada Program Podium Berfasa.
MSN turut menjelaskan dakwaan lain yang tular di media sosial berada di bawah tanggungjawab PTM serta pihak berkuasa berkaitan.

Dalam masa sama, MSN berharap isu berkenaan tidak menjejaskan fokus atlet tinju negara yang sedang membuat persiapan menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2027.
“MSN kekal komited untuk memastikan setiap urusan melibatkan atlet, pegawai dan jurulatih dilaksanakan secara profesional, telus dan berintegriti,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, tular di media sosial dakwaan Keattisak yang mendakwa beliau diarahkan memindahkan wang ke akaun pegawai PTM serta dakwaan salah guna kuasa membabitkan presiden badan induk itu, Datuk Mohamad Iruan Zulkefli.