
KUALA LUMPUR, 22 Mei – Johor Darul Ta’zim (JDT) mahu menamatkan musim 2026 dengan satu lagi kejuaraan apabila menentang Kuching City FC dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.
- Fokus dan aksi terbaik diperlukan kerana Kuching City mempunyai pertahanan kuat dan tahap fizikal tinggi, pertemuan sering berakhir dengan keputusan tipis.
- Arif Aiman berpotensi kembali selepas hampir enam bulan berehat akibat kecederaan, menambah pilihan sayap untuk JDT.
- Bergson: semangat, motivasi dan tanggungjawab juara perlu kekal tinggi untuk mempertahankan trofi dan memenuhi harapan penyokong.
Ketua jurulatihnya Xisco Munoz berkata, skuad Harimau Selatan perlu memberikan yang terbaik untuk menjulang kejuaraan itu kerana Kuching City bukan lawan yang mudah.
Menurutnya, pasukan lawan memiliki kekuatan tersendiri terutama di bahagian pertahanan selain mempunyai tahap fizikal yang baik.

“Cabaran utama adalah kami akan menentang pasukan yang hanya melepaskan 14 gol sepanjang saingan liga. Setiap pertemuan dengan mereka juga sentiasa berakhir dengan keputusan tipis seperti 1-0, 0-1, 2-1 dan 2-0.
“Kami perlu kekal fokus serta menampilkan aksi terbaik. Mereka juga memiliki kekuatan fizikal yang baik dan keadaan itu menuntut kami bermain pada tahap tertinggi,” katanya dalam sidang media Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini hari ini.
Munoz turut memaklumkan pemain sayap kebangsaan Arif Aiman Mohd Hanapi berpotensi kembali beraksi selepas hampir enam bulan berehat akibat kecederaan.
Sementara itu, penyerang JDT, Bergson da Silva berkata, semangat dan motivasi pasukan kekal tinggi bagi memastikan trofi Piala Malaysia terus menjadi milik Harimau Selatan.

Menurutnya, status sebagai juara bertahan menuntut pemain untuk terus menampilkan aksi terbaik di pentas akhir.
“Motivasi dan semangat juang pasukan perlu sentiasa berada pada tahap tertinggi kerana kami membawa nama dan harapan penyokong. Jersi ini juga hadir dengan tanggungjawab besar kerana kami sudah banyak kali beraksi di pentas akhir di Bukit Jalil.
“Harapan terhadap pasukan juga tinggi sebagai juara bertahan dan sebab itu kami perlu terus mengekalkan semangat serta keinginan untuk menang,” katanya.