Kuching City tekad lakar sejarah Piala Malaysia

Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak (kiri) bersama kapten pasukannya James Okwuosa dalam sidang media Piala Malaysia 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil – Foto MFL

KUALA LUMPUR, 22 Mei Kuching City FC bertekad melakar sejarah untuk merangkul kejuaraan Piala malaysia dengan menumpaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aidil Sharin: skuad berada pada tahap terbaik dan bersemangat tinggi.
  • Kuching City bukan pasukan besar, tetapi semangat dan kerja keras jadi kekuatan utama.
  • Jurulatih percaya kepada pemain; nasihat elak banyak kesilapan terutama 15 hingga 20 minit pertama.
  • Kapten James: mara ke final pencapaian besar; kemenangan akan melakar sejarah dan buktikan kemampuan pasukan.

Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak berkata, skuad kendaliannya berada pada tahap terbaik dan bersemangat tinggi.

Menurut beliau, meskipun Kuching City bukan pasukan besar dan masih baharu dalam arena bola sepak tempatan, semangat serta kerja keras pemain menjadi kekuatan utama pasukannya.

Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak – Foto MFL

“Keputusan perlawanan tidak dapat dikawal, namun saya sentiasa percaya kepada pemain. Mereka sangat teruja menjelang perlawanan akhir ini.

“Saya berharap mereka tidak terlalu teruja sehingga melakukan banyak kesilapan, terutama dalam 15 hingga 20 minit pertama perlawanan kerana perlu menyesuaikan diri dengan suasana dan tekanan baharu.

“Namun, saya percaya mereka akan memberikan yang terbaik,” katanya dalam sidang media Piala Malaysia 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Aidil berkata, pasukannya akan memberikan saingan terbaik demi penyokong Sarawak yang hadir ke Bukit Jalil.

Sementara itu, kapten Kuching City FC, James Okwuosa menyifatkan kejayaan mara ke final sebagai pencapaian besar buat pasukan serta peminat bola sepak di Sarawak.

Kapten Kuching City FC, James Okwuosa – Foto MFL

Menurutnya, kejayaan menjulang Piala Malaysia bakal melakar sejarah dan membuktikan mana-mana pasukan mampu mencabar lawan lebih besar dalam tempoh 90 minit permainan.

“Bagi kami, perkara paling penting adalah kemenangan. Apabila menang, anda mencipta sejarah dan orang akan mengingatinya.

“Seperti kata jurulatih, kami bukan datang sekadar untuk bermain, sebaliknya mahu bersaing dan menunjukkan kemampuan sebenar pasukan.

“Kami juga mahu membuktikan bahawa sesiapa sahaja mampu mencapai sesuatu dalam kehidupan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.