Malaysia Masters: Akechi sekat impian Letshanaa ke separuh akhir

Pemain Perseorangan Wanita Negara, K. Letshanaa/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Kecemerlangan pemain perseorangan wanita negara K. Letshanaa pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 berakhir selepas tewas kepada pemain Jepun Hina Akechi pada aksi suku akhir hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Letshanaa mendahului 20-11 tetapi hilang tumpuan; Akechi raih lapan mata berturut-turut, set pertama ditutup 21-19.
  • Akechi meningkat corak dan menang dua set berikutnya 21-12, 21-10; perlawanan tamat dalam 57 minit.
  • Letshanaa kekal positif dan sasar kejayaan di peringkat lebih tinggi; akan berdepan Chen Yu Fei pada pusingan pertama Terbuka Singapura 2026.

Pada aksi di Unifi Arena, Bukit Jalil di sini, Letshanaa memulakan permainan dengan baik dan dilihat berada di landasan tepat untuk memenangi set pembukaan selepas selesa mendahului 20-11.

Pemain ranking ke-32 dunia itu bagaimanapun hilang tumpuan seketika, sekali gus memberi peluang kepada pemain ranking ke-24 dunia Akechi mengutip lapan mata berturut-turut sebelum Letshanaa akhirnya memenangi set pertama 21-19.

Perubahan momentum itu menjadi faktor penentu apabila Akechi yang berusia 21 tahun meningkatkan corak permainannya untuk memenangi dua set berikutnya 21-12, 21-10 dan mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas pertarungan selama 57 minit.

Letshanaa mengakui beliau menerima padah kerana cuba menamatkan set pembukaan terlalu cepat.

“Saya mahu menamatkan perlawanan lebih cepat pada set pembukaan. Sebab itu saya mula hilang tumpuan. Bagaimanapun, pemain Jepun itu juga bermain dengan baik, konsisten dan sentiasa mengubah corak permainannya,” katanya selepas perlawanan itu.

Walaupun kecewa, pemain berusia 22 tahun itu kekal positif dan percaya detik kejayaannya pada kejohanan di peringkat lebih tinggi akan dikecapi dalam masa terdekat.

Penampilan di suku akhir itu bagaimanapun meneruskan prestasi memberangsangkan Letshanaa musim ini selepas mara ke separuh akhir Indonesia Masters 2026 pada Januari lepas, yang juga pencapaian terbaiknya setakat ini pada kejohanan bertaraf Super 500.

Beliau kini akan mengalihkan tumpuan kepada Terbuka Singapura 2026, yang menyaksikannya bakal berdepan cabaran sukar menentang pemain nombor empat dunia dari China Chen Yu Fei pada pusingan pertama.

Kekalahan Letshanaa itu juga bermakna penantian Malaysia untuk mempunyai wakil perseorangan wanita di separuh akhir Malaysia Masters masih berterusan selepas pemain profesional Goh Jin Wei menjadi pemain tempatan terakhir beraksi dalam kelompok empat terbaik sebelum tewas kepada juara dari Thailand Ratchanok Intanon pada edisi 2019 dengan keputusan 16-21, 16-21.

Sementara itu, cabaran besar menanti Akechi esok apabila beliau akan menentang pilihan utama Yu Fei yang menewaskan pemain Thailand Pitchamon Opatniputh 21-19, 21-9.

Malaysia Masters 2026, kejohanan bertaraf Super 500 berlangsung sehingga 24 Mei ini dengan menawarkan hadiah keseluruhan USD500,000 (RM1.98 juta).-Bernama

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.