Jaga adab siber, amalkan ‘Tabayyun’

Program MADANI Kita 2026 Parlimen Bandar Tun Razak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 21 November – Masyarakat Bandar Tun Razak diseru memperkukuh hubungan kejiranan, semangat perpaduan dan sikap saling menghormati bagi mengekalkan keharmonian komuniti.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jaga adab dan tatasusila media sosial; berkomunikasi dengan empati dan hormat.
  • Sentiasa berwaspada terhadap penipuan dalam talian; jangan kongsi TAC, kata laluan atau tekan pautan mencurigakan.
  • Amalkan tabayyun: semak kesahihan maklumat melalui AIFA WhatsApp, SEBENARNYA.MY atau MyCheck.my sebelum berkongsi.

Pada masa sama, pengguna media sosial diingatkan supaya menjaga adab dan tatasusila serta mengamalkan empati ketika berkomunikasi di ruang siber.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, masyarakat perlu sentiasa berwaspada terhadap penipuan dalam talian dengan tidak berkongsi kod pengesahan transaksi (TAC), kata laluan perbankan atau menekan pautan mencurigakan.

“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap taktik penipuan dalam talian. Jangan sesekali berkongsi nombor TAC, kata laluan perbankan atau menekan pautan mencurigakan.

“Amalkan konsep tabayyun, iaitu semak sebelum percaya dan fikir sebelum berkongsi. Kesahihan berita boleh disemak melalui chatbot AIFA di WhatsApp, portal SEBENARNYA.MY atau MyCheck.my sebelum sesuatu maklumat dipercayai atau disebarkan,” katanya semasa merasmikan Program MADANI Kita 2026 Parlimen Bandar Tun Razak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Erwin Ahmad.

Program MADANI Kita Parlimen Bandar Tun Razak yang berlangsung di Perumahan Awam Seri Kota menarik lebih 2,000 pengunjung, dengan tema Memaknai Harapan Rakyat.

Program bertujuan mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada masyarakat serta mengenal pasti keperluan dan isu setempat.

Antara pengisian termasuk Jualan RAHMAH dan Agro MADANI, pameran serta kaunter agensi kerajaan, saringan kesihatan, pertukaran topi keledar, penukaran minyak enjin motosikal, gunting rambut percuma dan sesi penerangan oleh agensi.

Program itu turut menyampaikan maklumat mengenai Belanjawan 2027 serta inisiatif dan bantuan kerajaan, termasuk semakan kelayakan menerusi portal manfaat.mof.gov.my.

Parlimen Bandar Tun Razak turut menerima peruntukan khas RM5.7 juta bagi 2025 hingga 2026 untuk kerja pembaikan dan penyelenggaraan masjid, surau, sekolah, dewan komuniti serta kemudahan awam.

Pada program sama, Datuk Seri Dr Wan Azizah menyempurnakan pelepasan 20 motosikal eKasih serta penyerahan simbolik Bakul RAHMAH kepada 300 penerima.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.