
KUALA LUMPUR, 22 November – Pelaporan media yang tepat, beretika dan berteraskan nilai kemanusiaan penting dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap isu ketagihan dadah, menurut Majlis Media Malaysia (MMM).
- Gunakan istilah bukan stigmatif; elakkan merendahkan maruah individu yang mengalami ketagihan.
- Bezakan jelas antara individu pengguna dan pengedar, serta antara ketagihan sebagai masalah kesihatan dan jenayah.
- Ketengahkan kisah kejayaan pemulihan dengan persetujuan individu dan perlindungan identiti sewajarnya.
- Ketagihan dadah ialah penyakit boleh dirawat; rawatan menyeluruh melibatkan biologi, psikologi, sosial dan spiritual.
Pendekatan itu sekali gus dapat mengelakkan stigma yang boleh menjejaskan peluang individu terjejas untuk mendapatkan rawatan dan kembali diterima dalam masyarakat.
Pengerusinya, Tan Sri Nallini Pathmanathan berkata, penggunaan istilah negatif dalam laporan berkaitan dadah boleh merendahkan maruah individu yang mengalami ketagihan.
“Ketepatan fakta dan nilai kemanusiaan bukanlah dua perkara yang saling bertentangan. Wartawan boleh melaporkan fakta tanpa merendahkan martabat seseorang, serta memastikan individu bertanggungjawab atas tindakan mereka tanpa menafikan hak dan maruah mereka sebagai manusia.
“Jadi, penting untuk membezakan dengan jelas antara individu yang menggunakan dadah dengan mereka yang mengedar dadah.
“Begitu juga, kita perlu membezakan antara kebergantungan terhadap dadah, yang merupakan satu keadaan kesihatan, dengan jenayah”, katanya selepas program Konsultasi Media bersama Pakar Mengenai Dasar Dadah hari ini.
Nallini berkata, media juga boleh membantu mengubah persepsi masyarakat dengan mengetengahkan kisah kejayaan pemulihan, bergantung kepada persetujuan individu terbabit serta perlindungan identiti sewajarnya.
Sementara itu, Pakar Ubat-Ubatan Keluarga, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga (BPKK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Nor Hazlin Talib berkata, ketagihan dadah merupakan sejenis penyakit berikutan pengambilan bahan terlarang secara berulang dan berpanjangan boleh mengubah fungsi otak.
Justeru, katanya, rawatan perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan mengambil kira empat elemen utama, iaitu biologi, psikologi, sosial dan spiritual.
“Apabila kita menyebut penyakit, pendekatan rawatannya juga sama seperti merawat penyakit diabetes dan obesiti. Ia perlu merangkumi aspek biologi melalui ubat-ubatan, psikologi menerusi rawatan kesihatan mental, selain sosial dan spiritual.
“Masalah ketagihan ini tidak boleh dirawat menggunakan satu elemen sahaja. Ia perlu dirawat dan yang paling penting, ia boleh dirawat,” katanya.