Dakwaan fitnah: PTM rancang ambil tindakan undang-undang terhadap Keattisak

Datuk Mohamad Iruan Zulkefli (dua, kiri) menunjukkan salinan laporan polis berhubung dakwaan video fitnah oleh bekas jurulatih Keattisak Teankam pada sidang media di Wisma OCM hari ini. Turut hadir, PTM, Naib Presiden, Mejar (B) Wan Hamid Wan Mohmood; Setiausaha Agung, Rosli Salim dan peguam, Tristan Paul yang mewakili Datuk Abu Bakar Isa Ramat.

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Persekutuan Tinju Malaysia (PTM), rancang akan mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas pembantu jurulatih dari Thailand, Keattisak Teankam, susulan video tular yang didakwa mengandungi fitnah dan menjejaskan reputasi persatuan serta sukan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Laporan polis dibuat di IPD Nilai; PTM mendapatkan nasihat undang-undang sebelum menentukan tindakan lanjut termasuk kemungkinan saman sivil.
  • Keattisak memuat naik video mendakwa diugut untuk memasukkan wang setiap bulan kepada presiden dan setiausaha agung PTM.
  • PTM menafikan dakwaan; jurulatih menerima gaji diproses oleh MSN dan tidak pernah dihalang meninggalkan Malaysia.
  • Keattisak diberi pinjaman RM8,000, mempunyai baki hutang RM9,100 dan hutang tambahan kira-kira RM5,000 kepada ketua jurulatih.

Presidennya, Datuk Mohamad Iruan Zulkefli berkata, laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu dan pihaknya kini mendapatkan nasihat perundangan sebelum menentukan tindakan lanjut, termasuk kemungkinan memfailkan saman sivil.

Isu berkenaan tercetus selepas Keattisak menerusi satu video yang dimuat naik di media sosial mendakwa diugut oleh presiden dan setiausaha agung PTM untuk memasukkan sejumlah wang setiap bulan ke akaun mereka.

“Kalau dia tidak turunkan video itu, kita mungkin akan ambil tindakan sivil. Kita juga akan hantar surat kepada Persatuan Tinju Thailand untuk memaklumkan apa yang sebenarnya berlaku,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut beliau, dakwaan yang dibangkitkan Keattisak adalah tidak benar kerana jurualtih itu telah menerima bayaran gaji yang diproses oleh Majlis Sukan Negara (MSN) selain tidak pernah dihalang untuk meninggalkan Malaysia.

“Ini adalah satu pembohongan dan fitnah yang amat besar yang dibuat oleh jurulatih PTM,” katanya.

Datuk Mohamad Iruan berkata, Keattisak sebelum ini menerima pinjaman pendahuluan RM8,000 bagi menampung perbelanjaan harian sementara menunggu pembayaran gaji pertama selepas tiba di Malaysia pada Julai tahun lalu.

Beliau mendakwa jurulatih berkenaan masih mempunyai baki hutang melibatkan pinjaman tersebut dan tunggakan sewa rumah, menjadikan jumlah keseluruhan yang perlu dijelaskan berjumlah RM9,100.

Malah, Keattisak turut mempunyai hutang kira-kira RM5,000 dengan ketua jurulatih kebangsaan, Supawit Charoensook yang dipinjam bagi menampung perbelanjaannya sepanjang berada di negara ini.

Keputusan menamatkan kontrak Keattisak lebih awal dibuat selepas penilaian prestasi dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja bersama MSN apabila pencapaian pasukan gagal memenuhi sasaran yang ditetapkan.

Bagaimanapun, Datuk Mohamad Iruan menjelaskan notis penamatan kontrak selama tiga bulan diberikan mengikut prosedur dan gaji bagi tempoh tersebut turut dibayar sepenuhnya.

“Tak ada isu yang kita ugut dia untuk RM9,100 itu. Duit itu adalah duit yang dia pinjam dan juga tunggakan sewa rumah selama tiga bulan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata PTM sedang memperkukuh persiapan menghadapi Sukan SEA 2027 menerusi kem pemilihan atlet baharu yang akan bermula pada 1 Jun depan di Nilai.

Seramai 12 atlet akan dipanggil menyertai kem berpusat bagi digabungkan dengan lapan atlet sedia ada sebelum pemilihan skuad kebangsaan dimuktamadkan.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Naib Presiden, Mejar (B) Wan Hamid Wan Mohmood; Setiausaha Agung, Rosli Salim dan peguam, Tristan Paul yang mewakili Datuk Abu Bakar Isa Ramat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.