Program Jualan Rahmah MADANI wajar diperluas, diadakan lebih kerap

Penduduk memanfaatkan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di Agrobazaar Rakyat Borong Wann, Felcra Lubuk Sireh / Foto RTM

PADANG BESAR, 15 Jun – Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) perlu diadakan secara berkala dan diperluaskan ke lebih banyak lokasi bagi membantu lebih ramai rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah, kata Pengurus Agrobazaar Rakyat Borong Wann, Wan Nan Wan Din.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program terbukti meringankan beban kos sara hidup dan memberi impak positif kepada masyarakat setempat.
  • Program di Agrobazaar Rakyat Borong Wann dijalankan dari pukul 9 pagi hingga 9 malam.
  • Lebih 400 penduduk hadir memperoleh barangan keperluan harian pada harga 10 hingga 30 peratus lebih murah.
  • Sebanyak 36 jenis barangan, termasuk produk sejuk beku, ditawarkan melalui kerjasama KPDN Perlis.

Beliau berkata, program berkenaan terbukti memberi impak positif kepada masyarakat setempat dalam meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI sama ada di dalam premis atau di luar premis perlu diadakan secara berkala dan diperluaskan ke lebih banyak lokasi kerana program sebegini memberi impak positif kepada masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program tersebut di Agrobazaar Rakyat Borong Wann, Felcra Lubuk Sireh di sini, yang berlangsung sepanjang hari, dari pukul 9 pagi hingga 9 malam tadi.

Program itu menarik kehadiran lebih 400 penduduk setempat yang mengambil peluang mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

Sebanyak 36 jenis barangan keperluan termasuk produk sejuk beku ditawarkan menerusi program yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis bagi membantu penduduk di kawasan Parlimen Padang Besar dan sekitar Felcra Lubuk Sireh.

Sementara itu, KPDN Perlis memaklumkan sebanyak 255 PJRM telah dilaksanakan di seluruh negeri itu sehingga 31 Mei lalu, melibatkan kesemua 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.