Tiga buah rumah di Kampung Kovil musnah terbakar

Tiga buah rumah di Kampung Kovil, Kepala Batas musnah terbakar namun tiada kecederaan dilaporkan / Foto ihsan orang ramai

KEPALA BATAS, 15 Jun – Tiga buah rumah musnah dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Kovil di sini malam tadi, namun kesemua penghuninya berjaya menyelamatkan diri sebelum api merebak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Panggilan kecemasan diterima pada 10.43 malam; jentera BBP Kepala Batas digerakkan ke lokasi.
  • Kebakaran melibatkan dua rumah dua tingkat dan sebuah rumah satu tingkat, setiap kediaman kira-kira 111 meter persegi.
  • Kebakaran dikawal pada 11.19 malam dan dipadam sepenuhnya pada 12.31 tengah malam.
  • Seramai 50 pegawai dan anggota bomba dari beberapa BBP serta Pasukan Bomba Sukarela turut terlibat dalam operasi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan 10.43 malam, sebelum jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas digerakkan ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi mendapati api sedang marak dan kebakaran melibatkan dua buah rumah dua tingkat dan sebuah rumah satu tingkat dengan keluasan kira-kira 111 meter persegi bagi setiap kediaman tersebut.

“Semua penghuni rumah iaitu sembilan orang termasuk dua kanak-kanak berjaya keluar dengan selamat sebelum ketibaan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dan tiada mangsa cedera atau maut dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

John berkata kebakaran berjaya dikawal pada 11.19 malam dan dipadamkan sepenuhnya 12.31 tengah malam sebelum kerja-kerja “overhaul” dilakukan, bagi memastikan tiada punca kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.07 pagi.

Beliau berkata sebanyak 50 pegawai dan anggota bomba daripada BBP Tasek Gelugor, BBP Bertam dan BBP Butterworth dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kepala Batas, Bagan Ajam, Kampung Selamat dan Sungai Petani, terlibat dalam operasi pemadaman itu.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.