
IPOH, 15 Jun – Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak meningkat kepada 92 orang daripada 33 keluarga pagi ini, berbanding 17 mangsa daripada lapan keluarga, malam tadi.
- Dua PPS dibuka di Larut Matang dan Selama pada 8 malam serta Manjung pada 11.30 malam.
- PPS SK Batu Hampar menempatkan mangsa dari Kampung Batu 25, Kampung Berjaya, Kampung Batu 23 dan Sungai Rotan.
- MetMalaysia keluarkan amaran ribut petir; Jabatan Pengairan lapor paras bahaya Sungai Perak di Hilir Perak dan Bagan Datuk.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan dua PPS dibuka di dua daerah yang terjejas iaitu di Larut Matang dan Selama yang dibuka pada 8 malam, manakala Manjung pada 11.30 malam tadi.
“PPS Sekolah Kebangsaan Batu Hampar di daerah Larut Matang dan Selama meningkat berbanding malam tadi. dengan menempatkan 41 mangsa daripada 14 keluarga susulan banjir yang membabitkan Kampung Batu 25, Kampung Berjaya, Kampung Batu 23 dan Sungai Rotan.
“Manakala PPS Sekolah Kebangsaan Beruas dalam daerah Manjung pula merekodkan 51 mangsa daripada 19 keluarga, membabitkan kawasan banjir di Kampung Kilang, Taman Anggerik Permai dan Kampung Pulau Kabung,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di kawasan Kerian, Larut, Matang dan Selama, Bagan Datuk, Manjung serta Hilir Perak pada 5.30 pagi tadi.
Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia juga memaklumkan paras air Sungai Perak dalam daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk, mencatatkan paras bahaya masing-masing merekodkan 1.38 meter dan 0.66 meter. – BERNAMA