
PARIS, 22 Mei – Kejohanan permainan video terbesar di dunia yang dijadual berlangsung di Arab Saudi pada musim panas ini terpaksa dipindahkan ke Paris susulan konlik di Asia Barat yang masih belum reda
- Edisi 2026 berlangsung 6 Julai hingga 23 Ogos, melibatkan 24 gelaran dan hadiah melebihi $75 juta.
- Dana acara disumbang Arab Saudi sejak 2024; dua edisi pertama telah diadakan di negara itu.
- Lebih 2,000 pemain dari 200 kelab dijangka bertanding dalam League of Legends, Dota 2, Counter-Strike 2 dan Valorant.
- Yayasan Esports mahu pusingan kejohanan ke bandar utama dunia; Reichert menyebut pengantarabangsaan dipacu situasi geopolitik.
Menurut penganjur, Edisi Piala Dunia Esports 2026 yang menyaksikan pemain bersaing dalam 24 gelaran untuk hadiah melebihi $75 juta akan diadakan dari 6 Julai hingga 23 Ogos.
Dana bagi menyokong acara tersebut disumbangkan oleh Arab Saudi sejak tahun 2024.
Dua edisi pertama kejohanan telah diadakan di negara tersebut dan Riyadh telah ditetapkan untuk menjadi tuan rumah sekali lagi tahun ini.
Bagaimanapun, Ketua Yayasan Esports, Ralf Reichert mendedahkan, pihaknya bimbang dengan keselamatan pemain apabila mereka datang ke Arab Saudi untuk menyertai kejohanan tersebut.
”Situasi geopolitik telah mempercepatkan pengantarabangsaan pertandingan,” katanya.
Reichert juga memetik, daya tarikan Paris dan peminat esports Perancis juga antara faktor lokasi kejohanan tersebut dipindahkan ke negara tersebut.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron dalam pada itu menggelarkan langkah tersebut sebagai salah satu perkara bersejarah dan penghormatan kepada negaranya.
“Terima kasih kepada Arab Saudi atas kepercayaan mereka. Kami bersedia untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia Esports 2026. Sangat berbangga untuk mengalu-alukan dunia sekali lagi,” tulis Macron di akaun X miliknya.
Kejohanan itu dijangka menarik lebih daripada 2,000 pemain dari 200 kelab di seluruh dunia untuk bertanding dalam gelaran popular seperti League of Legends, Dota 2, Counter-Strike 2 dan Valorant.
William Elman, seorang penasihat sukan, sektor sukarelawan dan belia untuk kerajaan Perancis berkata, acara itu dijangka memberi impak besar kepada pelancongan di rantau Paris.
Yayasan Esports dalam pada itu memaklumkan, visi jangka panjangnya adalah untuk membawa acara itu ke bandar-bandar utama di seluruh dunia dari semasa ke semasa.-AFP