China bantah keputusan AS sekat akses syarikat telekomunikasi

Foto AFP

BEIJING, 22 November – China mengecam keputusan Amerika Syarikat (AS) menyekat akses langsung tiga syarikat telekomunikasi utamanya kepada nombor telefon AS dan menyifatkan tindakan Washington itu sebagai langkah berniat jahat untuk menekan firma teknologi negara berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian Perdagangan China dakwa keputusan FCC tiada asas fakta, melanggar prinsip persaingan adil dan layanan tanpa diskriminasi.
  • FCC kata langkah itu untuk menyekat entiti terlibat dalam panggilan automatik haram; tiga syarikat terjejas ialah China Unicom, China Telecom, China Mobile.
  • Beijing menyifatkan pemisahan hubungan telekomunikasi bertentangan persefahaman pemimpin, berkemungkinan menjejaskan kestabilan hubungan ekonomi dan perdagangan.
  • China menggesa Washington tarik balik keputusan dan memberi amaran mungkin bertindak balas; FCC pertahankan tindakan atas alasan keselamatan dan robocall.

Kementerian Perdagangan China dalam kenyataan pada Ahad mendakwa keputusan Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan AS (FCC) dibuat tanpa asas fakta dan melanggar prinsip persaingan adil serta layanan tanpa diskriminasi.

“Tanpa sebarang asas fakta, FCC telah melanggar prinsip tanpa diskriminasi dan persaingan adil dengan sewenang-wenangnya memburukkan serta menindas syarikat telekomunikasi China secara berniat jahat,” menurut kenyataan kementerian itu.

Keputusan yang diluluskan melalui undian FCC pada Khamis lalu bertujuan menyekat akses entiti yang didakwa terlibat dalam kempen panggilan automatik haram atau robocall.

Tiga syarikat yang terjejas ialah China Unicom, China Telecom dan China Mobile, yang kesemuanya dimiliki kerajaan China.

Beijing turut menyifatkan tindakan terbaharu Washington untuk memisahkan hubungan sektor telekomunikasi kedua-dua negara sebagai bercanggah dengan persefahaman penting yang dicapai oleh pemimpin kedua-dua negara.

Menurut kementerian itu, tindakan berkenaan boleh menjejaskan kestabilan hubungan ekonomi dan perdagangan China-AS, selain menggesa Washington menarik balik keputusan tersebut.

China turut memberi amaran bahawa pihaknya mungkin mengambil langkah sewajarnya sebagai tindak balas.

Kecaman itu hadir selepas Presiden China, Xi Jinping, menerima kunjungan Presiden AS, Donald Trump, sempena sidang kemuncak serantau di Shenzhen minggu ini, dengan Xi sebelum ini menyifatkan hubungan kedua-dua negara sebagai semakin stabil dan bertambah baik.

Dalam pada itu, FCC mempertahankan keputusannya dengan menyatakan peningkatan jumlah entiti yang membuat panggilan dari dalam dan luar AS menimbulkan cabaran baharu dalam usaha melindungi rangkaian komunikasi negara itu daripada panggilan automatik haram.

FCC sebelum ini turut menyenaraihitamkan peralatan telekomunikasi keluaran Huawei dan beberapa syarikat China lain atas alasan keselamatan negara.

Pada Oktober lalu, agensi itu turut memutuskan untuk melarang makmal China menguji peralatan elektronik yang akan dipasarkan di AS bermula Disember 2028, dengan alasan amalan berkenaan boleh membuka ruang kritikal kepada pencerobohan rangkaian komunikasi Amerika.

Siasatan terhadap makmal berkenaan dimulakan selepas FCC mendapati pada 2024 bahawa Huawei mengendalikan sebuah makmal ujian yang mendapat kelulusan agensi itu.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.