Menteri Pendidikan Korea Selatan letak jawatan

Presiden Presiden Lee Jae Myung (dalam gambar) menerima peletakan jawatan Menteri Pendidikan, Choi Kyo-jin / Foto AFP

SEOUL, 22 November – Menteri Pendidikan Korea Selatan, Choi Kyo-jin meletakkan jawatan pada Ahad susulan kontroversi penipuan peperiksan menggunakan kecerdasan buatan (AI) yang tercetus menjelang peperiksaan kemasukan universiti utama negara itu pada minggu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang calon mengaku meniru menggunakan kamera mini dan telefon pintar pada peperiksaan akauntan cukai kebangsaan.
  • Pengakuan dibuat empat hari sebelum Suneung, peperiksaan kemasukan universiti yang menentukan akses kepada universiti berprestij dan peluang kerja.
  • Pihak berkuasa mengesan 111 kes salah laku elektronik semasa peperiksaan; hampir separuh dikesan melalui tiga amaran kecemasan kerajaan.

Pejabat Presiden mengesahkan bahawa Presiden Presiden Lee Jae Myung telah menerima peletakan jawatan tersebut.

Kontroversi tersebut tercetus selepas seorang calon yang memperoleh markah hampir sempurna dalam peperiksaan akauntan cukai kebangsaan mengaku menggunakan kamera mini dan telefon pintar untuk meniru.

Pengakuan itu dibuat hanya empat hari sebelum peperiksaan kemasukan universiti tahunan Korea Selatan yang dikenali sebagai Suneung berlangsung pada Khamis lalu.

Suneung merupakan peperiksaan penting selama sembilan jam yang dianggap sebagai penentu peluang memasuki universiti berprestij, mendapatkan pekerjaan bergaji tinggi dan meningkatkan prospek kehidupan sosial dalam masyarakat Korea Selatan yang sangat kompetitif.

Susulan pendedahan itu, pihak berkuasa melaksanakan pelbagai langkah pencegahan, termasuk menyekat akses Wi-Fi awam di kawasan peperiksaan serta menutup but pakaian calon menggunakan pelekat bagi mengelakkan penyembunyian peranti elektronik.

Bagaimanapun, Choi Kyo-jin berdepan kritikan selepas memberikan jawapan yang dianggap tidak meyakinkan ketika sesi Parlimen, Isnin lalu berhubung keyakinan beliau mengesan calon yang cuba menipu pada hari peperiksaan.

“Disebabkan usia saya, saya tidak yakin saya mampu,” kata menteri berusia 72 tahun itu di Parlimen.

Kenyataan itu mencetuskan reaksi negatif orang ramai, manakala Choi Kyo-jin turut tidak menghadiri sidang media menjelang peperiksaan dan tugas berkenaan diambil alih timbalannya.

Dalam pada itu, pihak berkuasa mengesan 111 kes salah laku membabitkan penggunaan peranti elektronik sepanjang peperiksaan Khamis lalu.

Hampir separuh daripada kes berkenaan dikesan menerusi tiga amaran kecemasan yang dihantar kerajaan bagi mengenal pasti telefon pintar yang gagal diserahkan oleh calon sebelum peperiksaan bermula.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.