
ISKANDAR PUTERI, 22 Mei –Tujuh lelaki warga asing ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang juruteknik yang ditemukan maut dengan beberapa kesan tikaman di sebuah pangsapuri di Johor Bahru pada 13 Mei lalu.
- Semua suspek ditahan di sekitar Masai dan Mersing pada 19 Mei; usia 17–45 tahun.
- Polis peroleh perintah reman tujuh hari sehingga 26 Mei untuk membantu siasatan.
- Penahanan hasil risikan selepas menemukan kenderaan milik mangsa; siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 302.
Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner (DCP) Hoo Chuan Huat berkata, kesemua suspek berusia 17 hingga 45 tahun ditahan di sekitar Masai dan Mersing pada 19 Mei lalu.
“Kita berjaya menahan tujuh individu, semuanya warga asing. Polis telah memperoleh perintah reman selama tujuh hari sehingga 26 haribulan. Penahanan baru sahaja dibuat, jadi siasatan masih dijalankan.
“Apabila sudah ada keputusan, kami akan memaklumkannya. Buat masa ini, polis berjaya menahan tujuh individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri.
Penahanan kesemua suspek dibuat hasil risikan dan tindakan susulan polis selepas menemukan kenderaan milik mangsa di sekitar Masai.
Semua suspek direman hingga 26 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.