
SUNGAI PETANI, 22 Mei- Dua lelaki yang ditahan berkaitan insiden letupan tong gas helium di tapak ekspo dekat Dataran Jam Besar di sini pada Khamis, direman bermula hari ini bagi membantu siasatan.
- Polis percaya kedua suspek terlibat dalam aktiviti membancuh bahan kimia.
- Perintah reman: suspek pertama direman empat hari; suspek kedua direman satu hari.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan.
- Seorang peniaga, Azmi Ahmad, 42, maut akibat serpihan tong helium; tiga lagi mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hanyan Ramlan berkata kedua-dua suspek yang ditahan pada malam kejadian dipercayai terlibat dalam aktiviti membancuh bahan kimia.
“Kita telah memperoleh perintah reman terhadap kedua-dua lelaki itu pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata perintah reman terhadap suspek pertama yang merupakan peniaga berusia 38 tahun dari perumahan awam Kuala Kedah adalah selama empat hari, manakala suspek kedua berusia 18 tahun dari Kampung Tepi Laut, Kuala Kedah direman selama sehari.
Menurut beliau, perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nur Hamizah Mat Shah di Mahkamah Sungai Petani, di sini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan.
Semalam, media melaporkan seorang peniaga minuman, Azmi Ahmad, 42, maut akibat kecederaan parah di tangan kanan dan dada sebelah kanan selepas dipercayai terkena serpihan tong gas helium yang meletup dalam kejadian kira-kira 7.53 malam.
Insiden terbabit turut menyebabkan tiga lagi lelaki berusia 15, 36 dan 49 tahun mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan.
Difahamkan, tong gas helium berkenaan digunakan untuk mengisi belon kanak-kanak yang dijual di tapak ekspo berkenaan.