Lima didakwa seludup migran, JIM gempur sindiket ‘GENG SHAFIK’

Foto Imigresen

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Lima individu termasuk dua ahli sindiket dikenali sebagai “Geng Shafik” didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi khas JIM pada 7 Mei menahan suspek dan migran di Seremban, Rawang serta Petaling Jaya.
  • Tertuduh didakwa sebagai transporter, penyelia rumah transit dan penyelaras; berdepan Seksyen 26J, 26H dan Seksyen 34 serta hukuman penjara dan denda.
  • Mahkamah memerintahkan tahanan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi tanpa jaminan; JIM melanjutkan tindakan penguatkuasaan tegas.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tiga daripada tertuduh merupakan warganegara Indonesia manakala dua lagi warga Bangladesh.

“Seorang tertuduh warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pada 21 Mei lalu, manakala dua lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Khas ATIP Klang pada 15 Mei.

“Kesemua mereka ditahan dalam Operasi Khas JIM di sekitar Seremban, Negeri Sembilan dan Rawang, Selangor pada 7 Mei lalu.

“Siasatan mendapati tertuduh berperanan sebagai ‘transporter’ dan penjaga rumah penampungan bagi migran yang diseludup masuk ke negara ini,” katanya.

Menurut Zakaria, seorang tertuduh didakwa di bawah Seksyen 26J ATIPSOM kerana bertindak sebagai ‘transporter’, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Dua lagi tertuduh pula berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 26H akta sama kerana melindungi atau menyembunyikan migran yang diseludup, dengan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Mahkamah memerintahkan kesemua tertuduh dipindahkan ke Mahkamah Tinggi masing-masing di Seremban dan Shah Alam, tanpa sebarang jaminan, sementara menunggu sebutan semula kes,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, dua lelaki warga Bangladesh yang dipercayai ahli sindiket “Geng Shafik” turut didakwa di Mahkamah Sesyen Khas ATIP Klang pada 15 Mei lalu.

“Kedua-dua tertuduh dipercayai bertindak sebagai penyelaras sindiket serta penjaga rumah transit bagi pendatang asing tanpa izin (PATI), susulan serbuan di sebuah premis di Petaling Jaya pada 7 Mei lalu.

“Hasil serbuan itu, pihak berkuasa menahan sembilan warga Bangladesh yang dipercayai diseludup masuk ke Malaysia melalui laluan haram di Kelantan sebelum dibawa ke Lembah Klang dan beberapa lokasi lain.

“Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 26H ATIPSOM dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana melindungi migran terbabit. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Mahkamah turut memerintahkan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam tanpa jaminan, dan kedua-dua tertuduh diarahkan ditahan sehingga sebutan semula kes.

Mengulas lanjut, Zakaria menegaskan JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran.

“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi memastikan semua pelaku dibawa ke muka pengadilan. Mana-mana individu atau sindiket yang terlibat akan berdepan tindakan tegas demi menjaga keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara,” tegas beliau.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.