Polis siasat pergaduhan dua pelajar di padang bola

Foto Hiasan

SHAH ALAM, 15 Jun – Polis membuka kertas siasatan berhubung insiden pergaduhan membabitkan dua pelajar sekolah di padang bola sebuah masjid di Seksyen 19, di sini, pada 12 Jun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Laporan dibuat oleh bapa salah seorang pelajar berhubung pergaduhan, butiran kejadian dilaporkan kepada polis.
  • Kedua-dua pelajar lelaki, usia 13 dan 14 tahun, saling mengenali dan belajar di sekolah sama; pergaduhan melibatkan hanya mereka.
  • Mangsa berusia 13 tahun dirawat di Hospital Shah Alam dan disahkan mengalami 'soft issue injury'.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan; polis menjalankan siasatan menyeluruh dan memanggil saksi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Sarudin Samah berkata pihaknya menerima laporan daripada bapa kepada salah seorang pelajar terbabit, berhubung kejadian yang berlaku kira-kira 1 tengah hari itu.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kedua-dua pelajar lelaki yang masing-masing berusia 13 dan 14 tahun itu, saling mengenali serta belajar di sekolah yang sama.

“Kejadian pergelutan ini berlaku antara dua orang pelajar sahaja dan dipercayai beberapa pelajar yang lain turut menyaksikan pergaduhan tersebut.

“Mangsa yang berusia 13 tahun itu kemudiannya telah mendapat rawatan di Hospital Shah Alam dan disahkan mengalami ‘soft issue injury’,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sarudin berkata polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh, termasuk mendapatkan perintah menjalankan siasatan serta memanggil semua saksi yang terlibat bagi membantu siasatan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan pelaku boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Susulan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat, untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohammad Amirul Zulkifli menerusi talian 012-5583436 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.