Pengendali Iran enggan isu politik, visa jejas fokus pasukan

Foto AFP

LOS ANGELES, 15 Jun – Skuad Iran enggan membiarkan ketegangan politik dan isu sekatan visa menjejaskan fokus pasukan berkenaan menjelang aksi pembuka tirai Kumpulan G Piala Dunia menentang New Zealand di Los Angeles, hari ini.

Ketua jurulatihnya, Amir Ghalenoei menegaskan bahawa barisan pemainnya tidak akan “melayan sebarang provokasi” biarpun persiapan pasukan itu sebelum ini terganggu akibat konflik diplomatik yang menyaksikan Amerika Syarikat (AS) enggan mengeluarkan visa kepada beberapa kakitangan sokongan pasukan.

Perlawanan menentang New Zealand itu turut mencipta sejarah tersendiri apabila julung kalinya sebuah negara tuan rumah Piala Dunia menganjurkan perlawanan membabitkan negara yang sedang berkonflik dengannya.

“Kami di sini adalah untuk mempamerkan aksi perlawanan yang berkualiti tinggi. Kami tidak peduli dengan segala kekecohan mahupun apa sahaja yang berlaku di sekeliling kami.

“Secara lumrahnya, semua pasukan mempunyai masalah tersendiri, dan di kebanyakan negara, pelbagai perkara berlaku yang langsung tiada kaitan dengan bola sepak,” katanya dalam sidang akhbar di sini bagi menjawab pertanyaan agensi berita AFP.

Menurut Ghalenoei, kehadiran pasukannya di pentas Piala Dunia kali ini adalah semata-mata untuk mewakili rakyat Iran, sama ada yang berada di dalam negara mahupun komuniti diaspora di luar negara.

Sidang akhbar tersebut berlangsung hanya sejam selepas pengumuman mengejut mengenai perjanjian damai antara AS dan Iran yang menamatkan operasi ketenteraan kedua-dua belah pihak serta-merta.

Sebelum ini, perlawanan berkenaan turut dihimpit ketegangan susulan ancaman protes oleh komuniti diaspora Iran di luar stadium serta spekulasi bahawa pasukan Iran akan bertindak keluar padang jika terdapat kain rentang antikerajaan dipamerkan.

Sementara itu, penyerang bintang Iran, Mehdi Taremi mengakui ketegangan yang berlaku sedikit sebanyak mencemari kemeriahan dan mesej keamanan yang cuba dibawa oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Saya dapat merasakan ketegangan ini sejak hari pertama kami tiba… sudah tentu kami tidak dapat merasai pengalaman indah tentang keamanan dan kegembiraan yang sering diperkatakan. Namun, fokus kami kekal untuk membawa kegembiraan kepada rakyat,” katanya.

Iran yang diletakkan dalam Kumpulan G bersama-sama Belgium dan Mesir, terpaksa menukar lokasi kem latihan pusat mereka di Tijuana, Mexico pada saat-saat akhir selepas pelan asal di AS dibatalkan.

“Kami tiba lewat dan tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyesuaikan diri… ia pasti memberi kesan, tetapi insya-Allah, saya tahu pemain-pemain saya sangat bertekad untuk memberikan yang terbaik,” tambah Ghalenoei. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.