
SEPANG, 1 November – China komited memperkukuh hubungan dua hala dengan Malaysia, sekali gus meningkatkan kerjasama strategik kedua-dua negara sempena memasuki era baharu yang disifatkan sebagai “50 Tahun Keemasan”.
- Menterjemahkan kesepakatan strategik pemimpin ke tindakan melalui memperkukuh kepercayaan politik antara China dan Malaysia.
- Memperluas kerjasama ekonomi termasuk projek pelaburan dan perdagangan untuk hubungan lebih menyeluruh.
- Meningkatkan pertukaran rakyat ke rakyat melalui perjalanan tanpa visa dan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
- Mempererat penyelarasan pelbagai pihak serta menyokong PBB, keadilan antarabangsa dan aspirasi Negara-negara Selatan Global.
Duta Besar China ke Malaysia, Yao Wen berkata, keutamaan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan di negara ini adalah menterjemahkan kesepakatan strategik pemimpin tertinggi kedua-dua negara kepada tindakan konkrit menerusi kerjasama lebih menyeluruh.
Dalam kenyataan rasmi sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau berkata hubungan erat China-Malaysia dibina atas asas persahabatan yang berakar sejak sekian lama.
“Hubungan China dan Malaysia diperkukuh menerusi pelbagai peristiwa bersejarah, termasuk pelayaran Laksamana Zheng He ke Melaka serta sumbangan Sukarelawan Nanyang ketika perang.
“Malaysia juga merupakan negara ASEAN pertama yang menjalin hubungan diplomatik dengan China,” katanya.
Menurut Yao Wen, kedua-dua negara turut membuktikan solidariti ketika berdepan pelbagai cabaran, termasuk krisis kewangan dan pandemik COVID-19.
“Lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia pada April 2025 turut membuka lembaran baharu dalam usaha membina komuniti berkongsi masa depan China-Malaysia pada peringkat lebih tinggi.
“Bagi merealisasikan matlamat itu, beliau menggariskan empat keutamaan utama, iaitu memperkukuh kepercayaan politik, memperluas kerjasama ekonomi, meningkatkan pertukaran rakyat dengan rakyat serta mempererat penyelarasan pelbagai pihak,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut melihat kemudahan perjalanan tanpa visa dan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 sebagai peluang untuk merancakkan hubungan pelancongan serta pertukaran rakyat kedua-dua negara.
Dalam aspek kerjasama antarabangsa, China dan Malaysia juga akan terus menyokong sistem antarabangsa berteraskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mempertahankan keadilan antarabangsa serta memperjuangkan aspirasi negara-negara Selatan Global (Global South) ke arah tadbir urus global yang lebih adil dan saksama.