
MACHANG, 22 Mei -Satu sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditumpaskan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan dengan penahanan 10 individu, termasuk seorang lelaki tempatan, dalam serbuan di Mukim Pangkal Meleret.
- Serbuan kira-kira 11.45 pagi oleh Cawangan Risik Batalion 7 PGA Kuantan dengan kerjasama JSJ dan JSJN serta IPD setempat.
- Pemeriksaan kenderaan menemui lima lelaki dan empat wanita warga Myanmar serta seorang pemandu tempatan.
- PATI dipercayai memasuki negara melalui pangkalan haram Bukit Bunga untuk bekerja di sekitar Selayang, Selangor.
- Polis merampas sebuah kereta, 10 telefon bimbit dan kunci; suspek tempatan positif methamphetamine; nombor casis tiada rekod JPJ.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dijalankan kira-kira pukul 11.45 pagi oleh anggota Cawangan Risik Batalion 7 PGA Kuantan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang.
Pasukan serbuan telah mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan berhampiran Tanah Perkuburan Islam Tok Bu’ya sebelum pemeriksaan dilakukan terhadap kenderaan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat lima lelaki dan empat wanita dipercayai warga Myanmar berada di dalam kenderaan tersebut bersama seorang pemandu lelaki tempatan berusia 32 tahun.”
“Kesemua warga asing terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua warga Myanmar itu dipercayai memasuki negara ini melalui pangkalan haram di kawasan sempadan Bukit Bunga untuk bekerja sebagai pekerja am dan pembantu kedai makan di sekitar Selayang, Selangor.
Katanya, suspek utama warga tempatan dipercayai bertindak sebagai penghantar PATI dan mengaku menerima bayaran sebanyak RM2,500 bagi setiap penghantaran ke kawasan Greenwood, Gombak.
“Kesemua PATI dipercayai berurusan dengan seorang ejen di Myanmar dan membayar kira-kira RM3,500 seorang untuk masuk ke Malaysia,” katanya.
Dalam operasi itu, polis turut merampas sebuah kereta, 10 unit telefon bimbit serta satu unit anak kunci kenderaan dengan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM60,000.
Sementara itu, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek tempatan didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Semakan lanjut turut mendapati nombor casis kenderaan yang digunakan tidak mempunyai rekod dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), manakala nombor pendaftaran yang dipamerkan didaftarkan atas pemilik lain.
Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 7(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kesemua suspek kini ditahan di lokap IPD Machang bagi membantu siasatan lanjut.