
KUCHING, 22 Mei- Polis menahan empat lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 45 tahun kerana dipercayai terlibat dalam kes samun bersenjata di sebuah rumah di Lorong Lapangan Terbang di sini, Isnin lalu.
- Laporan diterima pada 18 Mei kira-kira pukul 8.29 pagi.
- Sepasukan polis menahan suspek pada hari sama kira-kira pukul 3.20 petang.
- Semakan awal mendapati suspek tiada rekod jenayah; polis merampas kenderaan dan beberapa telefon bimbit.
- Reman tujuh hari diluluskan; kes disiasat mengikut Seksyen 395/397, hukuman sehingga 20 tahun dan sebatan.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabuq berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 18 Mei kira-kira pukul 8.29 pagi.
Menurut beliau, bertindak atas maklumat, sepasukan polis berjaya menahan kesemua suspek pada hari sama kira-kira pukul 3.20 petang.
Semakan awal mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Beliau berkata polis turut merampas sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah itu selain beberapa unit telefon bimbit bagi membantu siasatan lanjut.
“Permohonan reman terhadap kesemua suspek telah diluluskan selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Kuching bagi membolehkan siasatan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan tahap keselamatan kediaman termasuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem penggera serta memastikan pintu dan pagar sentiasa berkunci terutama pada waktu malam.
Orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada pihak polis di talian 082-244444.