Permintaan elektrik di India catat rekod tertinggi empat hari berturut-turut

Foto hiasan / AFP

NEW DELHI, 22 Mei – Kementerian Tenaga India menggesa rakyat menggunakan elektrik secara berhemah susulan lonjakan penggunaan tenaga ketika negara itu berdepan dengan gelombang haba melampau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Permintaan tenaga pecah rekod empat hari berturut-turut; bekalan elektrik mencecah 270.82 gigawatt.
  • Sistem grid elektrik India terus berdepan tekanan akibat penggunaan tenaga yang tinggi.
  • Cuaca panas melampau: suhu sehingga 47.6 darjah selsius di Banda; malam juga panas, minimum 31.9 darjah selsius direkodkan di New Delhi.

Permintaan tenaga mencapai kemuncak minggu ini apabila mencatat rekod baharu untuk empat hari berturut-turut ketika suhu mencecah 47 darjah selsius.

Di ibu negara, New Delhi, pekerja dilaporkan mengutip bangkai ikan yang terapung di Tasik Sanjay Park selepas paras air menyusut akibat cuaca panas berpanjangan dengan suhu di bandar raya itu mencecah 43 darjah selsius, hari ini.

Kementerian Tenaga dalam satu kenyataan menyebut pihaknya berjaya memenuhi permintaan tenaga tertinggi bagi hari keempat berturut-turut pada Khamis apabila bekalan elektrik mencecah 270.82 gigawatt (GW).

Bagaimanapun, Kementerian itu memberi amaran sistem grid elektrik India terus berdepan dengan tekanan akibat penggunaan tinggi.

“Walaupun kami bersedia membekalkan elektrik mengikut keperluan, orang ramai disaran menggunakan tenaga secara bijak dan berhemat susulan musim panas yang melampau,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, kementerian berkenaan menjelaskan peningkatan permintaan tenaga dipercayai berpunca daripada penggunaan peralatan penyejukan yang semakin tinggi.

Selain, suhu yang membahang pada waktu siang, India turut berdepan cuaca panas melampau pada waktu malam.

Di New Delhi, salah satu stesen cuaca utama merekodkan suhu minimum 31.9 darjah selsius pada Khamis, iaitu suhu minimum tertinggi bagi bulan Mei dalam tempoh 14 tahun.

Manakala, suhu maksimum tertinggi direkodkan mencecah 47.6 darjah selsius di bandar Banda, Uttar Pradesh, kira-kira 450 kilometer di tenggara New Delhi.

Suhu itu bagaimanapun menurut Jabatan Meteorologi India, sedikit rendah berbanding 48.2 darjah selsius yang dicatat awal minggu ini, namun masih 4.1 darjah selsius, lebih tinggi daripada paras normal.

Rekod suhu rasmi tertinggi India ialah 51 darjah selsius yang dicatatkan di Phalodi, Rajasthan pada 2016.

April lalu, platform pemantauan kualiti udara antarabangsa, AQI, melaporkan kesemua 50 bandar paling panas di dunia berada di India berdasarkan indeks haba hariannya yang mengambil kira enam faktor termasuk suhu, intensiti suria, angin, hujan dan kelembapan udara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.