AS-Iran hanya ada peluang “50-50” capai perjanjian mengenai Selat Hormuz

Penasihat Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Anwar Gargash ketika ditemubual dalam Forum GLOBSEC di Prague, Republik Czech

PRAGUE, 22 Mei – Amerika Syarikat (AS) dan Iran hanya mempunyai peluang 50-50 untuk mencapai persetujuan bagi membuka semula laluan perkapalan di Selat Hormuz.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gargash menggesa Iran agar tidak terlalu yakin; pegawai sebelum ini mensia-siakan peluang kerana melebih-lebihkan kekuatan sendiri.
  • UAE diserang kira-kira 3,300 dron dan peluru berpandu dalam 40 hari, namun hanya kira-kira empat peratus serangan menembusi sistem pertahanan.
  • Selat Hormuz mesti kembali kepada status quo dan kekal sebagai laluan perairan antarabangsa yang penting untuk pengeluaran minyak dunia.
  • UAE bimbang program nuklear Iran dan percaya Tehran sanggup menggunakan apa sahaja senjata yang dimilikinya, menjadikan rundingan lebih genting.

Perkara itu dinyatakan Penasihat Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Anwar Gargash yang turut menggesa Tehran supaya tidak terlalu yakin dengan kedudukannya dalam rundingan yang berlangsung secara turun naik disebalik gencatan senjata rapuh.

“Pegawai Iran sebulum ini telah banyak mensia-siakan peluang disebabkan kecenderungan untuk melebih-lebihkan kekuatan sendiri.

“Saya berharap mereka tidak mengulangi perkara itu kali ini,” katanya dalam Forum GLOBSEC di sini, hari ini.

Gargash berkata UAE yang kaya dengan hasil minyak dan menempatkan kemudahan ketenteraan AS, menjadi sasaran kira-kira 3,300 dron serta peluru berpandu sepanjang 40 hari perang bermula 28 Februari lalu.

Bagaimanapun, katanya, hanya kira-kira empat peratus daripada serangan itu berjaya menembusi sistem pertahanan negara berkenaan.

Beliau turut menegaskan Selat Hormuz yang sebelum ini disekat Iran perlu kembali beroperasi seperti biasa kerana laluan tersebut mengendalikan kira-kira satu perlima pengeluaran minyak dunia.

“Rundingan yang hanya bertujuan mencapai gencatan senjata tetapi dalam masa sama menyemai bibit konflik baharu pada masa depan bukanlah sesuatu yang kami mahukan,” katanya.

Tambah beliau, Selat Hormuz perlu kembali kepada status quo dan kekal sebagai laluan perairan antarabangsa.

Dengan perunding AS memberi tumpuan kepada potensi pembangunan senjata atom Iran, Gargash berkata program nuklear Iran kini menjadi kebimbangan utama UAE.

“Kami melihat Iran sanggup menggunakan apa sahaja senjata yang dimilikinya dan itulah yang kami pelajari daripada konflik ini,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.