
KEMAMAN, 14 Jun – Dua nelayan yang dikhuatiri hilang selepas bot yang mereka naiki tenggelam akibat ribut di perairan Kemaman, kira-kira 27.9 batu nautika dari pantai pada Rabu lepas, masih gagal ditemukan selepas empat hari operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) dilancarkan.
- Operasi Carilamat merangkumi 224.40 batu nautika persegi tanpa sebarang petunjuk baharu.
- Maritim Malaysia menggerakkan bot KM Redang dan JBPM mengoperasikan helikopter AW139, dibantu tiga bot nelayan tempatan.
- Seorang kru, Mahadi, diselamatkan; keluarga Nordin berharap dan reda menunggu keputusan.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata, operasi hari ini merangkumi kawasan seluas 224.40 batu nautika persegi di sekitar perairan Kemaman tanpa menemukan sebarang petunjuk baharu.
“Maritim Malaysia menggerakkan bot KM Redang, manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan helikopter jenis AW139.
“Operasi berkenaan turut dibantu oleh tiga bot nelayan tempatan di sekitar lokasi kejadian.
“Seramai 49 anggota Maritim Malaysia, JBPM serta nelayan tempatan terlibat dalam operasi Carilamat yang memasuki hari keempat hari ini,” katanya menerusi kenyataan.
Dalam kejadian Rabu lepas, sebuah bot nelayan yang dikendalikan tekong Azan Muda, 68, bersama dua kru, Nordin Mohammad, 61, dan Mahadi Jusoh, 51, telah tenggelam akibat ribut sekitar pukul 12.30 tengah malam.
Bagaimanapun, salah seorang daripada mereka, Mahadi, berjaya diselamatkan oleh sebuah bot nelayan di perairan Kemaman kira-kira pukul 10.30 pagi pada Khamis lalu.
Sementara itu, anak kepada Nordin, Muhammad Idham Hafiz, 23, ketika ditemui RTM berkata, ahli keluarganya masih menaruh harapan agar ayahnya dan Azan ditemukan dalam keadaan selamat.
Menurutnya, jauh di sudut hati keluarga, mereka masih berharap kedua-duanya dapat ditemukan walau dalam apa jua keadaan.
“Baru empat hari pencarian ayah dengan Pak Azan itu. Kalau ya pun, tengoklah dalam seminggu lagi. Sampai ketemu. Sebab ahli keluarga semua memang minta selamat semuanya. Dua-dua orang itu,” katanya.
Namun, beliau berkata ahli keluarganya tetap reda dengan ketentuan takdir dan berserah kepada Allah SWT.