Empat maut, kereta dinaiki dihempap treler muatan habuk kayu

Nahas di Kilometer 43.2 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Karak, Bentong

BENTONG, 14 Jun – Empat termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan treler yang membawa muatan habuk kayu di Kilometer 43.2 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Karak, Bentong, Pahang petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemandu treler dilaporkan cedera dan menerima rawatan lanjut.
  • BBP Bentong menerima panggilan kecemasan pada 4.35 petang dan tiba di lokasi pada 5.15 petang.
  • Operasi menyelamat menggunakan peralatan khas, dibantu PBS Elektrik Solar Janda Baik dan jentera berat LPT.
  • Mangsa yang dikeluarkan disahkan meninggal dunia oleh pegawai KKM; mayat diserahkan kepada polis. Operasi tamat pada 6.33 petang.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.35 petang itu, pemandu kereta terbabit, A. Halim Hasoon, 55, disahkan meninggal dunia bersama dua penumpang dewasa, Rozita Buang, 58, dan Norbahyah A. Halim, 26, serta seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun, Nayla Afya Aizat.

Manakala, pemandu treler berusia 40 tahun pula dilaporkan mengalami kecederaan dan menerima rawatan lanjut daripada pasukan perubatan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahudin Isa berkata, BBP Bentong telah menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.35 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi pada pukul 5.15 petang, terdapat kemalangan melibatkan sebuah kereta dan sebuah treler membawa muatan habuk kayu dengan lori tersebut telah terbalik dan menghempap kereta dinaiki kesemua mangsa.

“Empat mangsa yang berada di dalam kereta didapati tersepit, manakala pemandu treler mengalami kecederaan”, katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, operasi menyelamat dijalankan menggunakan peralatan khas penyelamatan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Operasi turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Elektrik Solar Janda Baik serta sebuah jentera berat milik pihak LPT bagi mengangkat treler untuk memudahkan kerja-kerja mengeluarkan mangsa.

Keempat-empat mangsa yang berjaya dikeluarkan kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala pemandu treler yang cedera dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 6.33 petang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.