Ubat Melalui Pos percuma dijangka beri manfaat kepada 87,000 pesakit

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil / Foto RTM

PUTRAJAYA, 29 September – Kira-kira 87,000 pesakit dijangka menerima manfaat penghantaran percuma menerusi inisiatif Ubat Melalui Pos (UMP) yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan selama setahun bermula 1 Oktober ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • MCMC akan bekerjasama dengan KKM untuk memastikan penghantaran ubat secara percuma kepada semua pesakit berdaftar di seluruh negara.
  • Kerajaan menambah peruntukan untuk meluaskan liputan UMP ke semua negeri; kos awal ditingkatkan bagi memastikan manfaat.
  • Program ini menjimatkan kos dan masa, memudahkan pesakit pedalaman serta mengurangkan kesesakan di fasiliti kesihatan KKM.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan penghantaran ubat-ubatan secara percuma kepada semua pesakit berdaftar di seluruh negara.

“Atas dasar keprihatinan dan semangat Malaysia Madani, kita membuat keputusan untuk menyediakan peruntukan tambahan bagi memastikan semua negeri mendapat manfaat UMP.

“Kos awal diteliti oleh pihak MCMC sebanyak RM5 juta tetapi dengan keputusan melibatkan semua negeri,kos ini ditingkatkan bagi memastikan semua orang mendapat manfaat,” katanya.

Tambah beliau, kos penghantaran UMP yang ditanggung pesakit sebelum ini pada kadar RM5.70 di Semenanjung, manakala RM12.50 di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pembiayaan
UMP di Lobi Menara Komunikasi di sini, yang menyaksikan kehadiran Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Sementara itu, pada majlis sama, Datuk Seri Dr  Dzulkefly Ahmad berkata peruntukan tambahan kerajaan itu amat bermakna dalam mempermudahkan urusan pesakit terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

Menurutnya, inisiatif UMP bukan sahaja menjimatkan kos dan masa pesakit, malah dapat mengurangkan kesesakan di fasiliti-fasiliti kesihatan KKM.

“Saya yakin manfaatnya sangat besar kepada rakyat khususnya di daerah-daerah pedalaman.

“Bayangkan kesukaran mereka untuk datang ke fasiliti kesihatan hanya untuk mengambil ubat-ubatan. Dari sudut kos, masa dan kemudahan, program ini amat memudahkan mereka,” katanya.

Pada Sabtu lalu, Datuk Seri Fahmi mengumumkan pesakit berdaftar tidak perlu menanggung kos UMP berikutan perkhidmatan itu akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan bermula 1 Oktober ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.