
KUALA LUMPUR, 29 September – Perancangan bandar di Malaysia perlu mengutamakan kelestarian dan keperluan penduduk, bukan hanya pembangunan serta keuntungan, bagi memastikan ia selamat dan selesa untuk didiami.
- Cabaran perancangan bandar: peningkatan populasi, penuaan demografi dan perubahan iklim menyebabkan kejadian banjir lebih kerap di bandar besar.
- Perancangan mesti mengambil kira kawasan sedia ada dan kawasan padat untuk elakkan pembangunan baharu menjejaskan keperluan penduduk.
- Manfaat perancangan bandar yang baik perlu dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa mengira jenis perumahan atau latar belakang ekonomi.
- Universiti Malaya menawarkan Kursus Sarjana Urbanisme Mampan untuk melahirkan perancang dan profesional mampu menangani cabaran pembangunan bandar.
Ketua Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Yong Adilah Shamsul Harumain berkata keperluan itu semakin penting berikutan peningkatan populasi, penuaan penduduk dan perubahan iklim.
“Dalam kita merancang sebuah bandar, kelestarian amat penting. Rasa selamat dalam kalangan penduduk juga penting kerana ia menentukan sama ada sesebuah bandar itu sejahtera dan selesa untuk didiami.
“Selain itu, cabaran lain ialah dunia yang semakin menua, peningkatan populasi serta perubahan iklim. Seperti yang berlaku di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, kita melihat isu banjir yang semakin kerap berlaku.” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Berita RTM selepas menjadi tetamu menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.
Jelasnya, perancangan bandar juga perlu mengambil kira keadaan kawasan sedia ada termasuk kawasan yang telah padat, selain memastikan pembangunan baharu tidak menjejaskan keperluan penduduk.
Katanya, manfaat perancangan bandar yang baik perlu dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa mengira jenis perumahan atau latar belakang ekonomi.
Sementara itu, beliau berkata Universiti Malaya turut menawarkan Kursus Sarjana Urbanisme Mampan bagi melahirkan perancang dan tenaga profesional yang mampu menangani cabaran pembangunan bandar masa kini.