Anthony Loke serah surat peletakan jawatan semalam kepada PM

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 29 September – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengesahkan beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, susulan pendirian DAP berhubung isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri meminta beliau terus menjalankan tugas sementara; tarikh berkuat kuasa ditentukan oleh PM.
  • Anthony menegaskan keputusan meletak jawatan adalah keputusan parti dan beliau tegas dengan pendirian itu.
  • Sebagai Setiausaha Agung, beliau meletak jawatan untuk menegaskan pendirian DAP terhadap isu tahanan rumah Najib.
  • Beliau terus menjalankan tanggungjawab kementerian; perancangan dan pelan strategik telah diluluskan.

Anthony berkata, beliau telah bertemu Perdana Menteri selepas menyerahkan surat berkenaan dan diminta untuk terus menjalankan tugas buat sementara waktu.

“Saya telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri semalam dan saya telah bertemu dengan beliau. Buat masa ini, beliau meminta saya untuk terus menjalankan tugas. Bagaimanapun, tarikh berkuat kuasa akan ditentukan oleh Perdana Menteri.” ujar beliau.

Anthony berkata, beliau tegas dengan keputusan parti untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan, namun akan terus menjalankan tugas seperti biasa buat masa ini.

“Sebab dan alasan saya meletakkan jawatan adalah kerana ini merupakan keputusan parti, susulan respons dan pendirian DAP terhadap isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak yang kita tidak bersetuju. Jadi, sebagai Setiausaha Agung, saya meletakkan jawatan bagi menegaskan pendirian DAP dalam isu ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Malaysia Maritime Week (MMW) 2026 di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas tugasnya di kementerian, Anthony berkata, beliau masih menjalankan tanggungjawab bukan kerana mahu meninggalkan kerajaan, sebaliknya perancangan kementerian telah dibuat sepanjang tahun termasuk pelan strategik yang telah diluluskan.

“Saya masih bertugas. Saya bukan bertugas kerana mahu meninggalkan kerajaan. Perancangan kementerian telah dibuat sepanjang tahun dan kita mempunyai pelan strategik yang diluluskan,”katanya.

Beliau sebelum ini memaklumkan keputusan meletakkan jawatan itu dibuat selaras dengan keputusan parti berhubung isu tahanan rumah Najib.

Anthony berkata, tarikh kuat kuasa peletakan jawatan bagaimanapun masih ditentukan oleh Perdana Menteri.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.