Belanjawan 2027 fokus kos sara hidup, pekerjaan berkualiti

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 29 September – Kos sara hidup, penyediaan pekerjaan berkualiti serta peningkatan taraf ekonomi rakyat antara fokus utama yang diberi perhatian dalam Belanjawan 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan memuktamadkan Belanjawan 2027 dengan tumpuan mengurangkan kos sara hidup dan memperluas peluang pekerjaan berkualiti.
  • Menggalakkan rakyat meningkatkan caruman persaraan supaya mempunyai simpanan mencukupi untuk menampung kehidupan ketika bersara.
  • KWSP perkenal pilihan pengeluaran berkala serta Kerangka Kecukupan Pendapatan Persaraan dengan pelarasan automatik mengambil kira inflasi.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah itu penting bagi memastikan rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti, termasuk dalam menghadapi peningkatan jangka hayat.

“Dalam kenyataan prabelanjawan, kerajaan telah mengenal pasti beberapa perkara yang menjadi pertimbangan untuk diberi perhatian, antaranya termasuk kos sara hidup, usaha menyediakan pekerjaan yang lebih berkualiti serta meningkatkan taraf ekonomi rakyat, dan sebagainya.

“Saya yakin, ketika kita menangani isu-isu tersebut, keperluan rakyat Malaysia yang hidup lebih lama dan menikmati kehidupan yang lebih berkualiti akan turut diambil kira sebagai sebahagian daripada perkara yang kita beri perhatian dalam Belanjawan,” katanya selepas merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2026, di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan kini sedang memuktamadkan Belanjawan 2027 yang dijadual dibentangkan pada 9 Oktober ini, dengan kos sara hidup, pekerjaan berkualiti serta usaha meningkatkan taraf golongan berpendapatan rendah antara perkara yang diberi perhatian.

Katanya, usaha memperkukuh kecukupan simpanan persaraan turut memerlukan rakyat Malaysia memainkan peranan lebih aktif dalam meningkatkan simpanan untuk hari tua.

“Perkara utama sekarang adalah untuk meneruskan usaha meningkatkan caruman ke dalam dana supaya rakyat Malaysia mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menampung kehidupan ketika bersara.

“Apa yang baik dari sudut KWSP ialah mereka kini beralih kepada pendekatan bukan sahaja menggalakkan orang ramai menambah simpanan tetapi juga mengingatkan mereka bahawa terdapat pelbagai pilihan yang boleh dipertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata, KWSP turut memperkenalkan mekanisme baharu bagi menggalakkan ahli memastikan simpanan persaraan mereka bertahan lebih lama, termasuk pilihan menerima pengeluaran secara berkala berbanding mengeluarkan keseluruhan simpanan secara sekali gus.

Katanya, Kerangka Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) KWSP turut menetapkan tahap simpanan berbeza bagi membantu ahli membuat perancangan berdasarkan gaya hidup persaraan yang diingini.

Kerangka itu turut merangkumi mekanisme pelarasan automatik bagi mengambil kira inflasi dan perubahan kos sara hidup.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.