
JAKARTA, 14 Jun – Ekonomi Indonesia menunjukkan tanda pemulihan sementara selepas tekanan hebat terhadap rupiah dan pasaran saham.
- Kebimbangan terhadap hala tuju dasar domestik mengurangkan keyakinan pelabur dan mengekalkan tekanan susut nilai rupiah.
- Lonjakan harga minyak mentah menekan ekonomi kerana Indonesia pengimport bersih.
- Langkah Bank Indonesia menaikkan kadar membantu menstabilkan mata wang dan pasaran tetapi tekanan terhadap rupiah mungkin berterusan.
- Firma antarabangsa dan Bank Dunia menyeru dasar lebih mesra pelabur; unjuran pertumbuhan dijangka di bawah sasaran kerajaan.
Bagaimanapun, AFP melaporkan, negara itu masih berdepan cabaran besar untuk menarik semula keyakinan pelabur susulan kebimbangan terhadap hala tuju dasar kerajaan.
Ekonomi terbesar Asia Tenggara itu terjejas akibat lonjakan harga minyak mentah global susulan konflik di Asia Barat, memandangkan Indonesia merupakan pengimport bersih minyak.
Rupiah merosot di bawah paras 18,100 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu ini, manakala pasaran saham kehilangan kira-kira satu pertiga daripada nilainya sejak awal tahun.
Tekanan bagaimanapun mula reda selepas Bank Indonesia menaikkan kadar pinjaman asas sebanyak 75 mata asas, sekali gus membantu menstabilkan mata wang dan pasaran.
Namun, BMI, sebuah unit Fitch Solutions, memberi amaran bahawa kebimbangan pelabur terhadap beberapa langkah dasar domestik masih belum reda.
“Memandangkan kebimbangan pelabur terhadap dasar domestik belum diselesaikan, kami menjangkakan tekanan susut nilai terhadap rupiah akan berterusan,” menurut BMI.
Firma itu berkata rupiah masih sekitar tujuh peratus lebih lemah berbanding parasnya pada permulaan perang pada Februari, sekali gus berkemungkinan memaksa Bank Indonesia menaikkan kadar faedah lagi.
Capital Economics pula berpandangan usaha mengukuhkan rupiah memerlukan pentadbiran Presiden Prabowo Subianto beralih daripada agenda dasar yang bersifat populis dan campur tangan.
“Akhirnya, apa yang diperlukan ialah perubahan yang jelas ke arah penggubalan dasar yang lebih mesra pelabur,” menurut firma itu.
Bank Dunia pada Khamis mengunjurkan ekonomi Indonesia berkemungkinan berkembang tidak melebihi 5.0 peratus susulan tekanan perbelanjaan awam yang tinggi, lebih rendah berbanding sasaran kerajaan sebanyak 5.4 peratus.
Pada suku pertama 2026, data rasmi menunjukkan ekonomi berkembang 5.6 peratus, namun sebahagian penganalisis menyuarakan keraguan terhadap kebolehpercayaan angka berkenaan. – AFP