
PUTRAJAYA, 22 Mei – Kerajaan sedang berusaha memastikan bekalan tenaga negara dapat dilanjutkan hingga Disember depan susulan krisis bekalan global.
- Keterjaminan bekalan tenaga mencukupi sehingga Julai; kerajaan giat mendapatkan sumber tenaga dari luar negara.
- Petronas bertungkus lumus mendapatkan sumber bekalan termasuk meneroka pasaran Afrika.
- Krisis bekalan global menjejaskan rantaian ekonomi, meningkatkan kos logistik, harga barangan dan sektor perubatan serta pembuatan.
- MTEN mengadakan sesi libat urus mingguan membantu perniagaan, menyokong PKS dan mengelakkan kehilangan pekerjaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, setakat ini keterjaminan bekalan tenaga mencukupi sehingga Julai ini termasuk sedang berusaha mendapatkan sumber dari luar negara.
“Langkah itu bertujuan mengurangkan penggunaan tenaga serta memastikan bekalan minyak dan gas negara dapat bertahan lebih lama.
“Petronas sedang bertungkus lumus untuk mendapat sumber bekalan malahan terpaksa pergi ke Afrika sekalipun. Insya-Allah kita akan dapat keterjaminan bekalan tenaga kita sehingga Disember,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan pelancaran Sustainable Rebate and Incentive Assistance (SuRIA) hari ini.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, krisis bekalan global memberi kesan kepada rantaian ekonomi negara termasuk peningkatan kos logistik, harga barangan dan keterjaminan bekalan.
Beliau berkata, kekurangan bekalan turut menjejaskan sektor lain seperti perubatan dan pembuatan, selain meningkatkan beban subsidi kerajaan bagi mengurangkan kesan terhadap rakyat.
Katanya, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) yang diadakan setiap minggu turut melaksanakan sesi libat urus dengan pelbagai sektor bagi mencari langkah membantu perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mengelakkan kehilangan pekerjaan.