
PUTRAJAYA, 22 Mei – Kerajaan sedang meneliti impak cabaran bekalan tenaga global terhadap kos sara hidup dan beberapa sektor berkaitan, namun memberi jaminan majoriti rakyat tidak akan terjejas.
- Kerajaan jamin 85 peratus isi rumah yang guna elektrik kurang 600 kW sebulan tidak akan terjejas.
- Kos elektrik tidak dinaikkan untuk majoriti, tetapi kenaikan logistik mungkin jejaskan harga barangan.
- Pengguna melebihi 600 kW sebulan mungkin mengalami sedikit pelarasan, namun kesannya tidak dijangka membebankan.
- Pengumuman dibuat semasa Perhimpunan PETRA dan pelancaran SuRIA sebagai langkah peralihan tenaga dan insentif lestari.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kira-kira 85 peratus isi rumah di negara ini menggunakan elektrik kurang daripada 600 kilowatt (kW) sebulan, sekali gus tidak terkesan dengan situasi semasa.
“Tidak ada kenaikan. Yang saya maksudkan kos akan naik disebabkan bekalan dunia ini terkesan. Jadi bila terkesan, logistik naik maknanya barangan akan berlaku kenaikan.
“Tapi kos elektrik kita telah memberi jaminan bahawa untuk 85 peratus rakyat tidak akan terkesan. Sebab itu memang dijamin oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan pelancaran Sustainable Rebate and Incentive Assistance (SuRIA) hari ini.
Menurut Datuk Seri Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, hanya pengguna yang menggunakan elektrik melebihi 600 kW sebulan berkemungkinan mengalami sedikit pelarasan, namun kesannya dijangka tidak membebankan.