
KUCHING, 22 Mei – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenalkan dua kod baharu bagi memperkukuh perlindungan pengguna khususnya kanak-kanak dalam talian.
- CPC dan RMC diterbitkan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025; berkuat kuasa 1 Jun.
- Kod menetapkan jangkaan dan tanggungjawab jelas kepada penyedia platform media sosial.
- Platform diwajibkan laksanakan pengesahan umur dan tidak benarkan pengguna bawah 16 tahun buka akaun baharu.
- Umur pengguna perlu disahkan menggunakan dokumen rasmi seperti kad pengenalan atau pasport.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata dua kod berkenaan adalah Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) yang diterbitkan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA); mula berkuat kuasa pada 1 Jun depan.
Kedua-dua kod tersebut menetapkan jangkaan dan tanggungjawab jelas kepada penyedia perkhidmatan platform media sosial dalam menangani kandungan memudaratkan.
Platform media sosial diwajibkan melaksanakan mekanisme pengesahan umur pengguna serta memastikan individu berusia bawah 16 tahun tidak dibenarkan membuka akaun baharu.
“Memastikan bahawa mereka yang tidak mencapai umur 16 tahun tidak dibenarkan untuk berdaftar, membuka akaun baharu atau menggunakan akaun mereka/ platform tersebut. Umur seseorang pengguna juga perlu disahkan.
“Mengikut dokumen yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia seperti kad pengenalan, pasport dan apa-apa jenis dokumen rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat Peringkat Daerah Kuching hari ini.
Ia merupakan penanda aras penting dalam usaha kerajaan mewujudkan ekosistem digital yang lebih selamat, inklusif dan beretika.
Langkah tersebut diambil hasil sesi libat urus dan rundingan awam bersama pemain industri, organisasi, masyarakat serta pihak berkepentingan sejak awal tahun ini.