Peruntukan RM200 juta untuk 10 set tren baharu Shuttle Selatan

Foto BERNAMA 

KULAI, 16 Jun – Johor bakal menerima 10 set tren komuter baharu, bagi perkhidmatan Shuttle Selatan dengan peruntukan kira-kira RM200 juta bagi memperkukuh sistem pengangkutan awam rel di negeri itu dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkhidmatan Shuttle Selatan guna aset sedia ada susulan siap Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-JB, membolehkan ETS ke Johor Bahru Sentral.
  • Perolehan EMU baharu sebagai pelaburan jangka panjang untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan; pengambilannya dijangka ambil dua hingga tiga tahun.
  • Kerajaan memperuntuk sehingga RM15 juta setahun untuk menampung kos operasi kerana kutipan tiket tidak mencukupi.
  • Pelancaran kerjasama strategik MOT, KTMB dan Perbadanan Aset Keretapi; 3,000 Kad MADANI diberi nilai RM50, percuma selama enam bulan.

Perolehan tren baharu itu sebagai pelaburan jangka panjang untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkhidmatan Shuttle Selatan yang dilancarkan hari ini menggunakan aset sedia ada susulan siapnya Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas – Johor Bahru yang membolehkan perkhidmatan ETS beroperasi terus ke Johor Bahru Sentral.

“Kita menggunakan set tren sedia ada untuk memulakan perkhidmatan ini. Namun bagi perancangan jangka panjang, kita telah ada projek untuk mendapatkan 10 set Komuter Selatan yang baharu.

“Ini merupakan pelaburan untuk masa depan bagi memastikan perkhidmatan pengangkutan awam rel di Johor terus diperkasakan,” katanya.

Tren baharu jenis Electric Multiple Unit (EMU) dijangka mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk diperoleh sebelum digunakan sepenuhnya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Peluncuran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di sini hari ini.

Jelasnya, kerajaan juga memperuntukkan sehingga RM15 juta setahun bagi menampung kos operasi dan melancarkan perkhidmatan Shuttle Selatan berkenaan.

Ia berikutan hasil kutipan tiket semata-mata tidak mampu untuk menampung keseluruhan operasi.

Selain, ia sebagai tanda sokongan kerajaan dalam memastikan perkhidmatan itu diteruskan demi manfaat bersama.

Pelancaran Shuttle Selatan adalah kerjasama strategik antara MOT, KTMB dan Perbadanan Aset Keretapi.

Sebanyak 3,000 Kad MADANI Shuttle Selatan diedarkan dengan nilai RM50 setiap kad hari ini, namun penggunaannya adalah percuma selama enam bulan.

Tambang perkhidmatan bagi laluan Kulai-JB Sentral adalah RM10.20 dengan masa perjalanan kira-kira 30 minit, melibatkan 10 perjalanan ulang-alik setiap hari.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.