
SEREMBAN, 16 Jun – Baitul Mahabbah terus menjadi inisiatif Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam menyediakan persekitaran lebih selamat dan kondusif kepada kanak-kanak yang terlibat dalam operasi penguatkuasaan imigresen bersama ibu bapa mereka.
- Menempatkan kanak-kanak bawah 10 tahun di premis lebih sesuai berbanding depot imigresen.
- Menjamin kebajikan, keselamatan dan perlindungan kanak-kanak semasa proses dokumentasi serta pengesahan status.
- Sehingga Februari, enam Baitul Mahabbah beroperasi menempatkan 188 kanak-kanak termasuk yang tidak ditemani penjaga.
- Kemudahan menyediakan keperluan asas, penjagaan kesihatan, pendidikan tidak formal dan ruang riadah sesuai umur.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata inisiatif itu diwujudkan khusus bagi menempatkan kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah di premis yang lebih sesuai berbanding depot imigresen.
Menurut beliau, langkah tersebut memastikan kebajikan, keselamatan dan perlindungan kanak-kanak terus terjamin ketika proses dokumentasi serta pengesahan status dijalankan.
“Kalau di depot imigresen, kita keluarkan kanak-kanak bawah 10 tahun dan ditempatkan di premis lebih kondusif melalui Baitul Mahabbah.
“Apabila operasi Jabatan Imigresen dilaksanakan dan ibu bapa ditahan bersama anak, kanak-kanak ini perlu ditempatkan dalam persekitaran yang lebih sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Citra Negara Menteri Dalam Negeri: Sekolah Selamat di sini, hari ini.
Setakat Februari lalu, sebanyak enam Baitul Mahabbah telah beroperasi di seluruh negara dengan menempatkan 188 kanak-kanak, termasuk mereka yang tidak ditemani penjaga atau terpisah daripada keluarga.
Kemudahan itu turut menyediakan keperluan asas, penjagaan kesihatan, pendidikan tidak formal serta ruang riadah yang bersesuaian dengan umur dan perkembangan mereka.
Baitul Mahabbah merupakan langkah interim kerajaan ke arah pelaksanaan pendekatan alternatif yang lebih menyeluruh bagi penahanan kanak-kanak pada masa akan datang.