
DAMANSARA, 6 Oktober – Penyelesaian menyeluruh bagi menangani masalah banjir kilat di kawasan berhampiran Stesen KTM Sungai Buloh perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya dan perkhidmatan kereta api.
- Masalah berlarutan memerlukan kerjasama beberapa agensi kerana melibatkan bidang kuasa berbeza.
- Cadangan termasuk kolam takungan sementara dan menaik taraf perparitan; mesyuarat akan ditubuhkan segera untuk memuktamadkan pelan, tanggungjawab dan pembiayaan.
- Sistem perparitan sedia ada rosak dan tidak memadai; hakisan cerun menyebabkan aliran berpatah balik sebelum limpahan ke lebuh raya.
Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo berkata, masalah berkenaan telah berlarutan sejak sekian lama dan memerlukan kerjasama beberapa agensi kerana ia melibatkan bidang kuasa berbeza.
Menurutnya, antara cadangan yang sedang dipertimbang termasuk pembinaan kolam takungan sementara serta menaik taraf sistem perparitan sedia ada.
“Saya telah meminta supaya satu mesyuarat diadakan dalam minggu ini juga supaya kita dapat membentangkan cadangan kepada kementerian dan agensi berkaitan supaya kerja-kerja itu dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak banjir berhampiran Stesen KTM Sungai Buloh, hari ini.
Mesyuarat berkenaan akan meneliti penyelesaian jangka pendek dan panjang selain menentukan agensi bertanggungjawab melaksanakan kerja serta sumber pembiayaan.
Jelasnya lagi, sistem perparitan sedia ada didapati tidak lagi memadai untuk menampung aliran air yang tinggi ketika hujan lebat, selain terdapat kerosakan pada sebahagian struktur perparitan serta kesan hakisan cerun.
Keadaan itu boleh menyebabkan aliran air berpatah balik atau backflow sebelum melimpah ke lebuh raya sehingga mengakibatkan banjir kilat.
Kerja sementara termasuk pembersihan dan pembinaan struktur tertentu telah dilaksanakan, namun langkah berkenaan belum mencukupi untuk menyelesaikan punca utama masalah.
“Keselamatan adalah keutamaan kita. Kita tidak mahu pengguna jalan raya ataupun mereka yang menggunakan perkhidmatan tren terkesan akibat banjir yang berlaku,” katanya.
Gobind berkata, kos keseluruhan projek belum dapat ditentukan sehingga penyelesaian teknikal dimuktamadkan bersama agensi terlibat.
Antara agensi yang terlibat dalam perbincangan berhubung penyelesaian masalah itu ialah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) serta Railway Assets Corporation (RAC).