
DUNGUN, 6 Oktober -Penduduk Taman Selesa, Bandar Al-Muktafibillah Shah, Dungun, Terengganu, memohon pihak berkaitan mengambil tindakan segera selepas seekor beruang matahari dikesan berkeliaran berhampiran kawasan kediaman mereka sejak seminggu lalu.
- Beruang memasuki kawasan kediaman untuk mencari makanan.
- Penduduk bimbang terhadap keselamatan, mengehadkan aktiviti luar terutama keluarga dengan anak kecil.
- Penduduk berharap pihak berkuasa menangkap dan memindahkan beruang bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
- Perhilitan menjalankan siasatan serta pemantauan; penduduk dinasihatkan berwaspada dan segera melaporkan.
Menurut penduduk, haiwan liar itu pada awalnya dilihat di kawasan kebun berhampiran sebelum semakin menghampiri rumah penduduk.
Dalam kejadian petang Sabtu lalu, beruang berkenaan dipercayai memasuki kawasan kediaman untuk mencari makanan.
Situasi itu menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk, terutama keluarga yang mempunyai anak kecil, selain menyebabkan mereka mengehadkan aktiviti di luar rumah pada waktu petang dan malam.
Penduduk berharap pihak berkuasa dapat menangkap dan memindahkan beruang berkenaan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Mula-mula nampak memang takutlah sebab itu beruang. Kalau kucing, lainlah, tetapi ini beruang. Biasanya pukul lapan, sembilan atau sepuluh malam, saya duduk di luar rumah macam biasa, walaupun kawasan sekitar tidak dipasang lampu. Tetapi sejak tahu ada beruang, saya takut nak keluar rumah,” penduduk, Mohd Shamsudin Mohd Zain.
“Tak kiralah waktu malam, terutamanya apabila gelap, atau pada waktu siang, kita terpaksa nasihatkan anak-anak supaya tidak keluar rumah. Kita bimbang sebab beruang ini boleh datang tanpa kita sedar, tiba-tiba berada di belakang kita pun kita tidak tahu,” penduduk, Azli Hasri Alias.
Masalah berkenaan telah mendapat perhatian Pejabat Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Dungun yang telah menjalankan siasatan serta pemantauan di sekitar kawasan berkenaan.
Penduduk dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan segera melaporkan kepada pihak Perhilitan sekiranya terserempak dengan haiwan liar berkenaan.