KPM perluas tujuh lagi sekolah K11 tahun depan

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, peluasan itu sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan sekolah K11 meningkat kepada 16 buah berbanding sembilan buah ketika ini. Foto RTM.

PUTRAJAYA, 16 Jun – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyasarkan peluasan tujuh lagi Sekolah Komprehensif (K11) di kawasan pedalaman pada tahun depan bagi memperkasa akses pendidikan dan mengurangkan keciciran murid.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPM telah kenal pasti sekolah di Perak, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Sabah; perincian diumum selepas proses dimuktamad.
  • Penaiktarafan K9 ke K11 membolehkan murid terus bersekolah dalam persekitaran sama tanpa berpindah, atasi cabaran jarak dan pengangkutan.
  • Inisiatif bertujuan kurangkan keciciran murid terutama di kawasan pedalaman dan komuniti Orang Asli, memastikan pendidikan formal berkualiti.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, peluasan itu sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan sekolah K11 meningkat kepada 16 buah, berbanding sembilan buah ketika ini.

Menurut beliau, sekolah yang dikenal pasti bagi pelaksanaan usaha tersebut di Perak, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Sabah, selain perincian mengenainya akan diumumkan selepas semua proses berkaitan dimuktamadkan.

“KPM menyediakan kemudahan pendidikan yang terbaik khususnya kepada murid di kawasan luar bandar dan pedalaman bagi mengatasi cabaran seperti jarak perjalanan, pengangkutan serta faktor yang boleh menjejaskan kehadiran ke sekolah.

“Melalui penaiktarafan sekolah K9 kepada K11 di kawasan pedalaman, murid dapat meneruskan persekolahan dalam persekitaran yang sama tanpa perlu berpindah ke sekolah lain.

“Inisiatif ini memberi peluang dan ruang yang lebih luas kepada mereka untuk mengikuti pendidikan secara berterusan, sekali gus memastikan setiap anak memperoleh pendidikan formal yang berkualiti di bawah sistem KPM,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 Kementerian Pendidikan yang menyaksikan seramai 467 penerima di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPM, Datuk Wan Hashim Wan Rahim dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad.

Sekolah K9 merangkumi murid dari Tahun 1 hingga Tingkatan 3 sahaja, manakala K11 sehingga Tingkatan 5.

Tahun ini, empat sekolah K9 telah dinaik taraf kepada K11 iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru di Kelantan, SK Satak di Pahang, SK Jenang di Perak dan SK Datuk Undang Abdullah di Negeri Sembilan.

Sekolah K9 dan K11 merupakan inisiatif KPM untuk menangani masalah keciciran murid khususnya di kawasan pedalaman dan komuniti Orang Asli.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.