
KOTA BHARU, 16 Jun – Komuniti MADANI disaran memainkan peranan lebih aktif sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat dengan menjadi penyampai maklumat yang tepat serta pengumpul maklum balas daripada masyarakat setempat.
- Menyalurkan pencapaian dan dasar Kerajaan MADANI kepada rakyat dengan maklumat tepat.
- Jangan bergantung hanya pada JAPEN dan JKOM; perlukan kerjasama serta rangkaian komunikasi akar umbi yang kukuh.
- Kementerian akan perkukuh melalui sesi penerangan bersama JAPEN dan galakkan penglibatan belia supaya relevan memenuhi keperluan masyarakat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, peranan anggota semakin penting dalam membantu menyampaikan pencapaian dan dasar Kerajaan MADANI kepada rakyat.
Usaha itu tidak boleh hanya bergantung kepada Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dan Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama serta rangkaian komunikasi yang kukuh di peringkat akar umbi.
“Komuniti MADANI akan memainkan peranan yang sangat penting sebagai kumpulan yang mendapatkan maklumat sama ada daripada komuniti setempat atau dari agensi-agensi atau jabatan-jabatan kerajaan,” katanya ketika berucap pada Program Jiwa MADANI di sini hari ini.
Pada program tersebut, beliau turut menyampaikan watikah pelantikan Ketua Komuniti MADANI Negeri Kelantan bagi penggal 2026-2027.
Menurutnya, pelbagai pencapaian kerajaan perlu disampaikan kepada rakyat termasuk kestabilan bekalan barangan keperluan, pengukuhan nilai
ringgit serta pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan yang memberi manfaat kepada rakyat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak kementerian akan terus memperkukuh peranan Komuniti MADANI melalui beberapa sesi penerangan bersama JAPEN bagi memastikan ahli komuniti memperoleh maklumat yang sahih dan tepat.
Tegasnya, ia perlu sentiasa diperkasakan termasuk dengan penglibatan lebih ramai golongan muda supaya kekal relevan dan mampu memenuhi keperluan masyarakat semasa.